PEKA, WASPADA KEADAAN TANAH KETIKA CUACA PANAS : JAS


Pengarahnya, Dr. Mohd Famey Yusoff menyarankan pemilik tanah membuat pemantauan lebih kerap dan mengambil langkah-langkah awal bagi mengelakkan kebarangkalian terjadinya pembakaran terbuka yang berskala besar. | Foto MDJ: Wira Anggara

 

Susulan kejadian kebakaran terbuka tanah gambut yang berlaku di Kota Tinggi baru-baru ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor menyeru agar p‎emilik tanah lebih peka dan berwaspada terhadap keadaan tanah terutama ketika musim panas.

 

Pengarahnya, Dr. Mohd Famey Yusoff menyarankan pemilik tanah membuat pemantauan lebih kerap dan mengambil langkah-langkah awal bagi mengelakkan kebarangkalian terjadinya pembakaran terbuka yang berskala besar.

 

Selain itu, penduduk di taman perumahan juga diseru untuk tidak melakukan pembakaran terbuka meskipun berskala kecil yang boleh menyebabkan kacau ganggu sehingga berlakunya aduan awam.

 

Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan larangan atas pembakaran terbuka di mana tindakan kompaun RM2,000 dan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, boleh dikenakan jika disabitkan dengan kesalahan.

 

Mohd Famey turut memaklumkan seramai 60 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam proses pemadaman kebakaran terbuka tanah gambut melibatkan kawasan seluas 32 hektar dalam tempoh hampir seminggu.

 

Kertas siasatan mengenai kejadian juga telah dibuka dan masih dalam siasatan untuk mencari pemilik tanah terbabit bagi dikenakan tindakan undang-undang.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor