SEMAK, TELITI KEBENARAN KHABAR DAN BERITA – MB


Sumber Foto : Unit Media & Komunikasi (Medkom), Pejabat Menteri Besar Johor

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merayu kepada Bangsa Johor agar meneliti kebenaran sesuatu khabar atau berita terlebih dahulu.

Menurut beliau, ia berikutan fitnah dan tohmahan berlaku secara berleluasa dalam dunia tanpa sempadan pada masa kini.

“Dalam usaha untuk memajukan lagi Negeri Johor yang kita cintai ini, turut terdetik di hati saya, perasaan gusar akan berbuatan yang boleh menggugat pembangunan dan kestabilan negeri.

“Di dalam dunia tanpa sempadan di mana fitnah dan tohmahan sedang berleluasa, berhati-hatilah apabila menerima sesuatu khabar atau berita. Saya merayu agar Bangsa Johor semak dan telitikan dahulu kebenaranya,” katanya menerusi posting dimuatnaik dalam Facebook rasminya, semalam.

Selain itu, dalam posting yang sama, Onn Hafiz turut berkongsi video memaparkan petikan ucapannya selain Surah Al-Hujurat ayat 6 yang menyeru agar diselidik kebenaran berita yang dibawa orang fasik.

“Dalam tempoh sebulan dua ini, maka banyaklah isu-isu yang akan dibuat, (dan) dilontarkan, (serta) fitnah-fitnah akan dibesarkan, (dan) akan dilaksanakan macam dulu.

“Saya tak nak orang Johor menyesal. Saya tak nak kita menyesal lagi kerana kita sudah rugi empat tahun. Banyak lagi perkara kita nak buat kepada anak-anak muda di sini, yang termakan dengan janji-janji kosong.

“Kita rapatkan saf. Kita berganding bahu untuk memajukan Negeri Johor dan antara perkara yang perlu dibuat ialah untuk memilih sebuah kerajaan yang stabil pada masa terdekat ini, insha Allah,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor