KERAJAAN JOHOR KOMITED TERUSKAN PENGANJURAN SUKAN BANGSA JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyempurnakan perasmian pelancaran Sukan Bangsa Johor 2022 di Velodrom Johor, hari ini / Sumber Facebook Mohd Hairi Mad Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Sukan Bangsa Johor 2022 melibatkan pertandingan empat acara sukan dilancarkan secara rasmi di Velodrom Johor, di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan perasmian pelancaran tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor.

Sempena penganjuran Sukan Bangsa Johor 2022, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.12 juta kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyediakan pasukan bertanding di peringkat negeri.

Setiap DUN menerima RM20,000 untuk penyertaan empat sukan iaitu sepak takraw, bola keranjang 3 on 3, bola jaring dan futsal.

Sukan Bangsa Johor 2022 dikelolakan oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), melibatkan 56 kontinjen DUN dengan penyertaan 1,993 pemain, jurulatih dan pegawai.

Dalam ucapannya, Mohd Hairi berkata, Sukan Bangsa Johor kembali menyemarakkan kalendar Sukan Johor selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan secara fizikal berikutan pandemik COVID-19.

“Selaku EXCO Belia dan Sukan Negeri Johor, saya amat teruja melihat semangat kesukanan yang ditonjolkan semua peserta dan diharapkan semua peserta dapat bertanding dengan sihat selain menjadikan Sukan Bangsa Johor sebagai medan penyatuan dan merapatkan silaturrahim antara DUN di Johor.

“Insya Allah, sebagaimana dalam ucapan saya, saya akan pastikan Sukan Bangsa Johor 2022 diteruskan untuk tahun-tahun berikut dalam menjayakan Agenda XTIF Johor serta Merakyatkan Sukan,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor