RAYA DULU-DULU : DAPAT ‘SEPOSEN’ PON DAH SERONOK


Gambar Hiasan | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Aidilfitri… selain menjadi penanda tamatnya sebulan umat Islam berpuasa, ia juga menjadi bulan untuk bermaafan, merapatkan mana yang renggang dan mendekatkan mana yang jauh.

 

Lain pula kisahnya bagi ‘warga kanak-kanak’ kerana seolah-olah melakukan kesepakatan satu sama lain untuk memburu ‘harta karun setahun sekali’ iaitu duit raya.

 

Bila bercakap pasal duit raya ini, golongan dewasa pada hari ini sudah tentu akan mengimbau kembali pengalaman beraya suatu ketika mereka masih lagi kecil. Era tahun 1980-an dahulu, pemberian duit raya kebiasaannya sekadar ‘seposen’ atau pun 20 sen, jika dapat duit not ‘seringgit’…. itu dikira menang ‘jackpot’.

 

Hal ini sudah cukup menimbulkan rasa seronok bagi kanak-kanak kerana wang yang diterima ini akan dikumpul untuk membeli ais krim, minuman, makanan dan permainan. Ini juga sudah cukup membuktikan sifat bersyukur amat penting dan perlu dididik kepada kanak-kanak sejak mereka masih kecil lagi.

 

Berbeza dengan keadaan sekarang. Nilai syiling 10 sen mahupun 20 sen itu telah hilang ditelan zaman. Kejatuhan nilai mata wang dan kemampuan pemberi yang meningkat, jumlah duit raya ini bertukar rupa dari duit syiling kepada wang kertas. Nilai seringgit di anggap sedikit, malah sepuluh ringgit juga tergolong dalam jumlah yang diperkirakan kecil sahaja.

 

Jika dahulu duit raya berupa wang syiling diberikan begitu sahaja kepada kanak-kanak, kini duit raya diletakkan di dalam sampul yang beraneka corak dan warna. Lebih banyak sampul yang diterima, lebih banyak duit raya yang dikumpul, lebih ceria kanak-kanak ketika beraya.

 

Pengajaran yang perlu disampaikan adalah, pemberian duit raya ini bukan perkara yang wajib, tetapi digalakan atas nama sedekah dan untuk mengembirakan hati kanak-kanak. Pun begitu, ibu bapa harus mendidik kanak-kanak supaya tidak sekali-kali meminta, bahkan seharusnya bersyukur dengan apa yang mereka terima daripada sang pemberi yang bermurah hati.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor