RAY TECH PILIH JOHOR
Anak syarikat gergasi teknologi China Unicomp Technology China iaitu Ray Tech (M) Sdn Bhd memilih Johor sebagai destinasi baharu pelaburan mereka apabila membuka kilang berkaitan peralatan teknologi ‘X-Ray’ di Taman Perindustrian SILC, Gelang Patah.
Lebih memberangsangkan, ia adalah destinasi pertama operasi perkilangan syarikat teknologi berkenaan di luar dari tanah besar China.
Dr. Liu Jun, Presiden Syarikat Unicomp Technology Pte. Ltd, memberitahu keputusan memilih Johor sebagai destinasi terbaharu operasi syarikat itu dibuat atas perancangan yang rapi dan yakin negeri ini adalah lokasi sempurna untuk mengembangkan lagi potensi perniagaan sedia ada.
Ujarnya, Johor dipilih kerana mempunyai eko-sistem yang lengkap seperti rantaian bekalan yang mencukupi yang mana pembekal-pembekal sokongan syarikat juga berada dalam lingkungan sekitar Johor.
Selain itu, kedudukannya yang strategik iaitu bersebelahan dengan Singapura memudahkan syarikatnya untuk mengeksport barangan ke luar serta mudah mendapatkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang mekanikal, elektrikal dan pengurusan melalui kerjasama dengan universiti tempatan menjadi antara faktor utama yang mendorong pihaknya terutama Ray Tech untuk beroperasi di negeri ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir merasmikan Majlis Pembukaan Rasmi Ray Tech (M) Sdn. Bhd, hari ini. Hadir sama ialah YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YBhg. Siva Suriya Moorthy, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Investment Development Authority (MIDA).
Untuk rekod, sehingga 31 Mac lalu, Kerajaan Negeri Johor telah meluluskan sebanyak 250 projek melibatkan pelbagai sektor yang diyakini mampu memberikan pelbagai pulangan dalam bentuk ekonomi seperti peluang pekerjaan kepada Bangsa Johor terutamanya.
Ia sekali gus menunjukkan komitmen dan keseriusan Kerajaan Negeri dalam membangunkan ekonomi Johor sekali gus merealisasikan matlamat untuk menjadikan Johor sebagai ‘The Next Shenzhen’.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor