DUTA PERPADUAN JOHOR ‘EJEN’ KEHARMONIAN MASYARAKAT


Gambar hiasan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Duta Perpaduan Johor terdiri golongan muda di negeri ini, bersedia memainkan peranan signifikan menggerakkan usaha penerapan dan pemupukan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

 

Bagi V. Shantya Thevi, 24, inisiatif Duta Perpaduan Johor mencerminkan keseriusan Kerajaan Negeri mendukung semangat perpaduan menerusi pendekatan turun padang mendekati masyarakat.

 

Penganjuran pelbagai program kempen kesedaran dan pendidikan mengenai nilai toleransi disambut baik dan disokong Duta Perpaduan Johor itu untuk digerakkan bagi mengukuhkan perpaduan yang menjadi tunjang sebuah negeri maju.

 

Menerusi konsep Bangsa Johor yang telah sebati dalam rakyat negeri ini, mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu akui tidak kekok membesar dalam masyarakat terdiri pelbagai latar belakang, budaya dan tradisi.

 

Sementara itu, Lim San Shien, 24, menjunjung kasih terhadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang senantiasa menekan dan mementingkan soal perpaduan Bangsa Johor.

 

Melihat berlakunya defisit sosial yang membimbangkan di negara ini, Duta Perpaduan Johor itu komited mendekati dan mengajak belia agar lebih matang dalam tindakan demi keharmonian bersama.

 

Anak kelahiran Muar itu turut menyelar tanggapan negatif kononnya konsep Bangsa Johor mengancam keharmonian sedangkan realitinya rakyat tidak pernah dibezakan dengan warna kulit dan agama.

 

Pemenang Anugerah Siswa Johor Terbaik Kepimpinan Tahun 2020 itu turut menyarankan Kerajaan Persekutuan mengemaskini silibus pendidikan sedia ada dengan memperkasa aspek kepelbagaian budaya dan adat resam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor