BERMULA MINAT DAN NIAT BANTU KELUARGA


Mohamad Firdaus Mat Salleh, 26, yang juga pemilik kedai Barbershop USS menerima insentif Bantuan Peralatan Perniagaan oleh Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) bernilai RM3,500 sempena Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Mersing. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Bermula dengan minat terhadap kemahiran gunting rambut dimiliki oleh bapa saudara disusuli dengan niat membantu keluarga mendorong seorang usahawan belia dari daerah Mersing gigih mendapatkan kemahiran seterusnya memulakan perkhidmatan dari rumah ke rumah hingga kini berjaya memiliki perniagaan sendiri.

 

Mohamad Firdaus Mat Salleh, 26, yang juga pemilik kedai Barbershop USS memberitahu minat terhadap bidang tersebut bermula sejak di bangku sekolah kerana selalu melihat bapa saudara menggunting rambut saudara mara sebelum mula menyertai kursus kemahiran jangka pendek anjuran Waqaf An-Nur.

 

Beliau seterusnya mengasah bakat serta teknik dengan bekerja di kedai gunting rambut dan pernah menyediakan perkhidmatan gunting rambut dari rumah ke rumah ketika pandemik COVID-19 sebelum membuka perniagaan sendiri di bangunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bukit Pasir secara percuma.

 

Mendapat sokongan penuh daripada Majlis Gabungan Belia Mersing (MGBM) serta penduduk setempat, perniagaan yang diusahakan kini sudah memasuki tahun kedua malah usahawan belia tersebut menyeru dan menasihati golongan muda supaya berani menonjolkan diri dalam pelbagai bidang untuk berjaya.

 

Terdahulu, bapa kepada tiga cahaya mata itu ditemui selepas menerima insentif Bantuan Peralatan Perniagaan oleh Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) bernilai RM3,500 pada Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Mersing di Dataran Tanjung Genting.

 

Jelajah diketuai YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor itu turut disertai oleh YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) serta YBhg. Mohamad Alif A. Rahim, Pemangku Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ).

 

Mersing merupakan daerah keenam Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor selepas Pontian, Segamat, Kluang, Johor Bahru dan Kota Tinggi yang menjadi platform kepada Kerajaan Negeri mendengar suara hati, aspirasi dan kehendak golongan belia di seluruh daerah di negeri ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor