BEKAS HAKIM SYARIE TOKOH MAAL HIJRAH JOHOR


Jainudin Mt Sum, bekas Hakim Mahkamah Syariah Negeri Johor dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Tiada apa yang lebih istimewa buat Jainudin Mt Sum, bekas Hakim Mahkamah Syariah Negeri Johor dengan tempoh perkhidmatan lebih tiga dekad apabila dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Johor.

 

Pengiktirafan yang diterima disifatkan oleh bapa kepada lima cahaya mata itu sebagai penghargaan terhadap perundangan syariah seterusnya memberi semangat kepadanya untuk memperkasa bidang yang diceburi sejak 1981.

 

Memulakan perkhidmatan sebagai Kadi Daerah Kluang, Jainudin, 75, menzahirkan kesyukuran dan amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pengiktirafan yang diterima terhadap sumbangan diberikan selama ini.

 

Beliau yang kini merupakan panel Mahkamah Rayuan Negeri Johor, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor sejak 2014 bertekad menjadikan pengiktirafan itu sebagai teras memantapkan hierarki Mahkamah Syariah seterusnya memberi keadilan sewajarnya.

 

Terdahulu, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor menyempurnakan pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1446H/2024M, hari ini.

 

Hadir sama, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Dato’ Amir Nasruddin, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan YB Dato’ Mohammed Ridha Abd. Kadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor.

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor