TANAM SEMANGAT HIJRAH UNTUK BANGUNKAN NEGERI


Golongan muda memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran masa kini sekali gus mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Awal Muharam sememangnya detik amat bermakna seterusnya dekat dalam jiwa dan sanubari umat Islam seluruh dunia yang menghayati dan meneladani peristiwa hijrah junjungan besar Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat dari Mekah ke Yathrib atau kini dikenali sebagai Madinah.

 

Sirah perjuangan penuh berliku baginda sewaktu mengembangkan ajaran Islam yang mendapat penentangan kaum Quraisy di Mekah sehingga terpaksa berhijrah dengan meninggalkan tempat yang dicintai atas ketaatan kepada perintah Allah SWT wajar dijadikan contoh dan ikutan generasi masa kini.

 

Golongan muda pada hari ini tidak seharusnya memandang remeh kisah penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat, sebaliknya diteladani dengan mengambil ibrah peristiwa yang berlaku dalam mendidik umat Islam sepanjang zaman, jelas Ustaz Esby Islami Rifai, Penolong Mufti di Jabatan Mufti Negeri Johor.

 

Peristiwa berkenaan mengajar umat Islam agar melakukan pengorbanan besar untuk hidup bermuafakat dalam sebuah negeri dengan masyarakat majmuk sebagaimana yang telah dijayakan oleh Nabi Muhammad SAW dengan menyatupadukan kaum Aus dan Khazraj serta mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin.

 

Oleh itu, peristiwa hijrah memberi mesej kepada generasi muda untuk mempunyai semangat jitu dan memainkan peranan untuk berdepan dengan cabaran masa kini bagi mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Al-Asyai’rah dan Al-Maturidiah.

 

Justeru, tema sambutan Al-Falah Pemacu Maju Johor sempena sambutan Maal Hijrah 1446H/2024M Peringkat Negeri Johor juga sememangnya bertepatan bagi menuntut pengorbanan besar dalam kalangan generasi muda menyemai semangat hijrah untuk membangunkan seterusnya menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor