TERUS LONJAK INDUSTRI TERNAKAN JOHOR


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Sembelihan dan Pemprosesan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Medan diiringi YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Penggiat sektor pertanian diseru menggembleng tenaga kerja dalam usaha meningkatkan produktiviti dan keberhasilan sektor industri ruminan demi menjayakan hasrat Johor menjadi peneraju sekuriti makanan negara.

 

Kerajaan Johor turut memberi sokongan melalui peruntukan sebanyak RM850,000 kepada Pusat Sembelihan dan Pemprosesan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Medan sebagai strategi memperhebat agenda keterjaminan makanan bagi menyelesaikan isu kekurangan pusat penyembelihan di kawasan ini.

 

PPK tersebut berupaya menjalankan kerja-kerja penyembelihan setempat yang mematuhi piawaian halal dan mampu menampung antara lima hingga 30 ekor sembelihan haiwan sehari bagi merancakkan industri ruminan untuk mencapai sasaran baharu 200,000 hasil ternakan ditetapkan Kerajaan Johor menjelang tahun 2027.

 

Malah, Kerajaan Negeri yakin mampu mencapai sasaran tersebut apabila sebanyak 162,000 hasil ternakan berjaya direkodkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor melibatkan 97,000 lembu pedaging, 40,000 kambing dan 25,000 bebiri setakat September 2024.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Sembelihan dan Pemprosesan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Medan diiringi YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, hari ini.

 

Kerajaan Negeri turut menyampaikan Insentif Keterjaminan Makanan (Industri Penternakan Ruminan) Negeri Johor berjumlah RM6.1 juta kepada jabatan dan agensi di bawah portfolio pertanian dan Industri Asas Tani (IAT).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor