INSTITUSI KEWANGAN UTAMA MINAT LABUR DI FCSFZ


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Sejak pengumuman pakej insentif cukai Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) dibuat pada September lalu, beberapa institusi kewangan utama serta syarikat dari pelbagai sektor sudah menzahirkan kesediaan dan minat untuk membuka pejabat di lokasi zon ekonomi eksklusif berkenaan.

 

Antara institusi kewangan utama yang berminat termasuklah Malayan Banking Berhad (Maybank), Public Bank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, AmBank Group serta bank antarabangsa dengan kepakaran mendalam urusan perdagangan dan pelaburan global iaitu Bank Of China.

 

FCSFZ yang juga memberi fokus terhadap sektor perkhidmatan logistik, pusat perkhidmatan global dan perkhidmatan perpindahan turut menarik beberapa nama besar konglomerat lain antaranya Tiong Nam Logistics Holdings Berhad, AME Elite Consortium Berhad dan KinderWorld Group.

 

Justeru, Kementerian Kewangan juga akan membantu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi merangka draf perintah warta yang akan merangkumi kriteria serta garis panduan permohonan pakej insentif FCSFZ yang bakal disempurnakan pada awal tahun 2025.

 

Pelaksanaan FCSFZ di Pulau Satu Forest City kelak akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan kewangan, manakala Kawasan Daratan berfokus kepada sektor logistik, hab perkhidmatan global dan perkhidmatan penempatan semula yang merangkumi keseluruhan 11 insentif menarik termasuk kadar cukai korporat konsesi antara 0 hingga 5 peratus.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab pertanyaan mengenai status dan perkembangan pelaksanaan FCSFZ secara bersekali pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor