JOHOR TEROKA KERJASAMA STRATEGIK DI QATAR


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor (kiri) bersama TYT Saad bin Ali Al Kharji, Pengerusi Pelancongan Qatar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Visit Qatar. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri meneroka peluang kerjasama strategik dengan Qatar dalam pembangunan produk pelancongan yang mampu memberikan impak besar kepada ekonomi kedua-dua pihak termasuk pelaburan dalam infrastruktur pelancongan, hotel bertaraf antarabangsa dan pertukaran kepakaran.

 

Perkara itu dizahirkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor selepas mengetuai delegasi Kerajaan Negeri mengadakan pertemuan bersama TYT Saad Bin Ali Al Kharji, Pengerusi Pelancongan Qatar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Visit Qatar dalam lawatan kerja selama dua hari di negara berkenaan.

 

Dengan kejayaan Qatar Tourism membina destinasi-destinasi ikonik seperti Muzium Seni Islam dan Qatar National Museum sebagai tarikan utama, Kerajaan Negeri yakin potensi dan kekayaan dimiliki Johor dalam aspek sejarah, budaya dan alam semula jadi mampu mencontohi kejayaan negara itu mencipta produk pelancongan bertaraf dunia.

 

Kerajaan Negeri turut menzahirkan keyakinan bahawa negeri ini mampu memperkukuh sektor pelancongan dan meningkatkan daya saing sebagai destinasi pelancongan global selain membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan ekonomi negeri menerusi potensi pelaburan dan kerjasama dari Qatar Tourism.

 

Penerokaan peluang kerjasama strategik dengan Qatar itu akan memastikan negeri ini berada di peta pelancongan dunia, menawarkan pengalaman yang unik dan bertaraf antarabangsa kepada pelancong sekali gus mengangkat Johor sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2030.

 

#MajesticJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor