LATIHAN PROFESIONAL LAHIR GURU STEM SRBJ MAHIR PAK21


YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyantuni serta beramah mesra Kumpulan Guru STEM SRBJ yang mengikuti kursus di NIE International, Singapura. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Latihan profesional Kumpulan Guru Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) di National Institute of Education (NIE) International, Singapura menjadi usaha penting melahirkan pendidik yang mahir dan bersedia untuk mendidik generasi masa hadapan dengan pendekatan pembelajaran abad ke-21 (PAK21).

 

Inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor melibatkan latihan kepada guru bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terdiri 12 modul itu memberi penekanan aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara lebih berkesan, kreatif dan berinovasi.

 

Latihan yang meningkatkan kemahiran pedagogi, memperluaskan pengetahuan inovasi STEM dan memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan itu juga mencerminkan komitmen Johor melahirkan pendidik berkualiti tinggi serta berdaya saing di peringkat global.

 

Selain itu, kumpulan guru STEM SRBJ yang terlibat turut mengadakan lawatan ke Westwood Primary School dan North Vista Secondary School di Singapura untuk melihat PdP autentik di dalam kelas, penggunaan teknologi secara efektif serta berdialog dengan pendidik di dua sekolah terbabit.

 

Latihan profesional selama lima hari bermula 7 hingga 11 April itu merupakan kursus bagi warga pendidik SRBJ yang diadakan secara berperingkat bermula kumpulan guru STEM diikuti teras Bahasa Inggeris pada Mei dan teras Pentaksiran iaitu penilaian kompetensi murid Jun depan.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyantuni serta beramah mesra Kumpulan Guru STEM SRBJ yang mengikuti kursus di NIE International, Singapura.

 

#STEM
#SRBJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor