PROJEK PELEBARAN JALAN DI KEMPAS UTAMA KINI SIAP 94 PERATUS

Foto Fazli Salleh

 

#IskandarPuteri – Penduduk di Kampung Kempas Utama dan Kampung Maju Utama kini boleh menarik nafas lega apabila isu kesesakan trafik yang membelenggu mereka sejak sekian lama bakal berakhir apabila Projek Menaiktaraf dan Pelebaran Jalan di kawasan berkenaan kini mencapai kemajuan 94 peratus yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan ini.

 

Projek infrastruktur penting yang dimulakan sejak Februari 2018 ini membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM44.6 juta yang melibatkan kerja pelebaran jalan dari dua lorong kepada empat lorong sepanjang 2.2 kilometer dan ia dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 15,000 pengguna jalan raya di laluan berkenaan.

 

Selain kerja pelebaran jalan, projek ini juga turut melibatkan pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan struktur lama yang sempit serta padat dengan penambahan utiliti bawah tanah bagi membantu mempercepatkan aliran trafik dan melancarkan pengaliran air Sungai Tebrau.

 

Faktor keselamatan pengguna juga diberi perhatian dalam projek ini dengan pemasangan lampu jalan bagi tujuan pencahayaan pada waktu malam dan sistem saliran sedia ada turut dinaik taraf bagi mengurangkan risiko banjir kilat di lokasi berkenaan.

 

Projek ini secara keseluruhannya dilaksanakan mengikut garis tempoh masa yang ditetapkan, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kemudahan awam sentiasa ditambah baik demi kesejahteraan rakyat.

 

Terdahulu, YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor memantau kemajuan projek pelebaran jalan di kawasan Kempas Utama, Johor Bahru.

 

#WTN
#JalanRaya
#JKR
#PelebaranJalan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor