BAKAL CALON PILIHAN RAYA DISARAN MEMBUAT SEMAKAN DAN BAYARAN DEPOSIT LEBIH AWAL


Pegawai SPR sedang meneliti proses penamaan calon ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu / Gambar Fail SPR.

 

ISKANDAR PUTERI — Semua bakal calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 disarankan supaya membuat bayaran deposit lebih awal menjelang hari penamaan calon pada Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Ikmalrudin Ishak, berkata ia bertujuan untuk memastikan proses penamaan calon pada 5 November ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kertas penamaan calon boleh diserahkan bermula dari jam 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus SPR di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) oleh pihak berkenaan iaitu calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua daripada mereka atau seorang daripada mereka.

“Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding supaya membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat SPR negeri di seluruh negara sebelum hari penamaan calon.

“Selain itu, bakal calon juga disarankan membuat bayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran itu hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran. Ini bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media menjelang hari penamaan calon PRU yang akan diadakan pada 5 November ini.

Ikmalrudin berkata, bakal calon yang mewakili parti politik yang bertanding turut diingatkan supaya mengemukakan surat kebenaran menggunakan simbol parti yang diwakili ketika menyerahkan kertas penamaan calon kelak.

“Pada hari penamaan calon, hanya calon, pencadang dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke PPC. Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

“Penggunaan alat muzik dan pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa cara termasuk penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dbenarkan. Ia adalah kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, beliau menyeru semua calon dan parti politik yang bakal bertanding pada PRU15 ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon kelak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor