MENTERI BESAR JOHOR BANTU MANGSA KEMALANGAN
ISKANDAR PUTERI — Kesibukan tugas sebagai Menteri Besar Johor tidak menghalang Datuk Onn Hafiz Ghazi membantu seorang bapa bersama dua anaknya yang terlibat dalam kemalangan, semalam.
Kejadian tersebut dikongsi oleh Shahrol Azizie Azmi yang turut berada di lokasi kejadian menerusi hantaran video berdurasi 40 saat di laman Facebook rasminya.
Keprihatinan ADUN Machap itu kemudiannya tular di laman-laman Facebook serta platform media sosial lain yang rata-rata memuji tindakan diambil.
Memetik posting Shahrol, beliau memaklumkan Menteri Besar Johor telah meminta pemandunya memberhentikan kenderaan sebelum bagi tujuan membantu lelaki terbabit dan anaknya.
“Dalam perjalanan ke satu program di JB (Johor Bahru) kami terlihat seorang lelaki mendukung 2 (dua) anaknya di hadapan kereta yang baru sahaja kemalangan.
“‘Ya Allah kesiannya dia. Joe berhenti!!!’ MB (Menteri Besar) Johor meminta pemandunya berhenti dan beliau terus ke arah lelaki tersebut.
“Alhamdulillah tiada kecederaan yang serius. Semoga dipermudahkan urusan abang Rizal dan dua anaknya sekeluarga,” tulis beliau.
Video berdurasi 40 saat itu memaparkan Menteri Besar Johor sedang melintas jalan menuju ke arah seorang lelaki dikenali sebagai Rizal bersama anaknya di lokasi kejadian yang dalam keadaan licin kerana hujan.
Onn Hafiz kemudiannya mendukung salah seorang anak lelaki itu selain membenarkan bapa terbabit bersama anaknya berteduh seketika di dalam kereta beliau sementara menunggu bantuan tiba. Difahamkan, lelaki itu bersama dua anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor