YAYASAN JCORP MEMBANGUNKAN RUMAH HIJAU PERTANIAN PINTAR DI SMK SERI KOTA PUTERI 2

Yayasan JCorp memperkasa kesedaran kelestarian alam sekitar menerusi pembangunan Rumah Hijau Pertanian Pintar di SMK Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Usaha untuk memupuk kesedaran tentang kelestarian alam sekitar di negeri ini terus diperkasakan apabila Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) tampil membangunkan Rumah Hijau Pertanian Pintar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang.

 

Inisiatif terbaharu yang dilaksanakan oleh Yayasan JCorp ini bertujuan untuk memupuk kesedaran alam sekitar serta mendedahkan pelajar dengan teknologi pertanian yang lebih mampan melalui latihan secara praktikal.

 

Program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Johor Plantations Group Berhad (JPG) dan Waqaf An-Nur ini akan menjadikan SMK Seri Kota Puteri 2 sebagai sekolah ketujuh yang dilengkapi kemudahan Rumah Hijau Pertanian Pintar, sekali gus mengangkat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) ini sebagai model dalam pendidikan pertanian pintar berasaskan teknologi di Johor.

 

Ybrs Puan Siti Fatimah Jalil, Guru Penyelaras Rumah Hijau Pertanian Pintar SMK Seri Kota Puteri 2 memberitahu, rumah hijau ini dilengkapi dengan sistem berasaskan Internet of Things (IoT) bagi membolehkan pelajar melihat sendiri teknologi dan aplikasi yang digunakan dalam pertanian moden sebenar.

 

Selain itu, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran melalui aktiviti tanaman, menjaga dan menuai tanaman secara praktikal, sekali gus meningkatkan kesedaran mereka terhadap penjagaan berkaitan kelestarian alam.

 

Untuk rekod, Yayasan JCorp telah membangunkan rumah hijau di enam sekolah iaitu SMK Bandar Baru Uda; SMK Tun Syed Nasir Ismail; SMK Taman Universiti 2; SMK Sri Rahmat; SMK Buluh Kasap, Segamat serta SMK Seri Medan, Batu Pahat yang telah dilaksana sejak 2024.

 

Sementara itu, sebuah lagi sekolah iaitu SMK Tasek Utara turut menerima inisiatif sama dan majlis perasmiannya bakal dilangsungkan pada akhir Jun ini.

 

Terdahulu, YBhg. Tuan Haji. Abdul Karim, Ketua Penolong Pengarah Kanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaku wakil rasmi Pengarah JPNJ menyempurnakan Majlis Perasmian Rumah Hijau Pertanian Pintar di SMK Seri Kota Puteri 2, Masai.

 

#JohorSafeZone
#YayasanJCorp
#JPNJ
#JPG
#WaqafAn-Nur
#SRBJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor