SPR KELUARKAN 24,677 KERTAS UNDI POS BAGI PRU DN JOHOR KE-16

Kenyataan media Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). 

 

#IskandarPuteri – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 24,677 kertas undi pos kepada individu yang layak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16 di kesemua 56 kawasan Dewan Negeri (DUN) hari ini.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 23,288 kertas undi pos adalah bagi kategori Borang 1A melibatkan Petugas Pilihan Raya, Ahli dan Pegawai SPR, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta petugas media.

 

Sebanyak 1,044 kertas undi pos pula dikeluarkan kepada pengundi bagi kategori Borang 1B yang merupakan warganegara Malaysia di luar negara, manakala 345 kertas undi pos adalah bagi kategori Borang 1C melibatkan agensi dan organisasi yang layak.

 

SPR memaklumkan proses pengeluaran kertas undi pos ini telah dilaksanakan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti politik dan calon individu yang bertanding bagi memastikan segala urusan berkaitan berjalan secara telus dan teratur.

 

Sehubungan itu, kumpulan pengundi pos berkenaan diingatkan supaya membuat penandaan pada kertas undi, melengkapkan Borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dengan betul serta mengembalikan sampul undi kepada Pegawai Pengurus DUN masing-masing sebelum jam 5.00 petang pada 11 Julai 2026, iaitu Hari Mengundi.

 

SPR turut mengingatkan semua pengundi pos supaya menjaga kerahsiaan undi dengan tidak merakam atau menyebarkan gambar kertas undi pos di media sosial.

 

#JohorSafeZone
#PRUDNJohor16
#MehNgundi
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor