PELANTIKAN TIMBALAN EXCO PERKUKUH KAPASITI PENTADBIRAN KERAJAAN JOHOR

Pelantikan 10 Timbalan MMK Johor bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengubah struktur pentadbiran negeri. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor dibuat dalam ruang kuasa pentadbiran Kerajaan Negeri sebagai mekanisme untuk memperkukuh pelaksanaan dasar serta penyampaian perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Pelantikan tersebut tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baharu, tidak memindahkan kuasa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan ia juga tidak mengubah struktur pentadbiran Kerajaan Negeri. Pelantikan jawatan itu sebaliknya dilaksanakan berdasarkan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ini juga tidak akan menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pihak EXCO, menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan dasar, kewangan atau apa-apa keputusan eksekutif.
Pelantikan itu juga bukan bertujuan menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi kerajaan, sebaliknya ia bertujuan untuk meningkatkan kapasiti pentadbiran supaya pelaksanaan dasar, pemantauan projek serta penyelesaian isu-isu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan.
Keperluan memperkukuh kapasiti pentadbiran itu turut mengambil kira pelaksanaan pelbagai agenda strategik negeri termasuk Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Projek Sistem Rapid Transit (RTS) Link Johor Bahru-Singapura serta pelbagai projek berimpak tinggi menjelang tahun 2030.
Pelantikan berkenaan turut dibuat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negeri dan hanya melibatkan implikasi kewangan yang minimum melalui penggunaan aset serta kemudahan sedia ada Kerajaan Negeri tanpa mewujudkan portfolio baharu atau pertambahan struktur pentadbiran yang boleh membebankan kewangan negeri.
Kerajaan Johor menegaskan setiap keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat, keperluan semasa serta usaha memperkukuh keupayaan pentadbiran negeri agar setiap dasar dapat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang berupaya memberi manfaat kepada Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


