RM5 JUTA BANGUNKAN MASJID KAMPUNG PARIT PECHAH DEMI KESELESAAN KARIAH SETEMPAT

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri menunaikan Solat Jumaat di Masjid Kampung Parit Pechah, Muar. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Masjid Kampung Parit Pechah, Muar yang baharu siap dibina dengan peruntukan keseluruhan RM5 juta sudah mula beroperasi dan digunakan untuk menunaikan Solat Jumaat sejak Jun lalu, sekali gus menyediakan kemudahan tempat ibadah lebih selesa dan kondusif kepada penduduk serta kariah setempat.
Daripada jumlah peruntukan berkenaan, sebanyak RM2.3 juta merupakan sumbangan Yayasan Mohamed Noah manakala RM2.7 juta lagi disalurkan menerusi Tabung Pembangunan Masjid dan Surau bagi merealisasikan pembinaan masjid tersebut.
Projek pembinaan yang dilaksanakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) ini menyediakan sebuah masjid yang selesa dan kondusif, selain memenuhi keperluan penduduk serta kariah setempat untuk melaksanakan aktiviti keagamaan.
Kemudahan baharu berkenaan turut diharapkan dapat terus diimarahkan sebagai pusat ibadah, ilmu dan aktiviti kemasyarakatan seterusnya menjadi wadah penyatuan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.
Selain itu, agihan makanan kepada jemaah selepas Solat Jumaat menerusi Program Infaq Jumaat Johor turut dilaksanakan sebagai usaha menyuburkan budaya bersedekah dan berkongsi rezeki, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri menunaikan Solat Jumaat di masjid berkenaan dalam siri Lawatan Kerja ke Daerah Muar bagi pembentangan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP).
#JohorSafeZone
#JETP
#Muar
#KampungParitPechah
#MediaDigitalJohor
#JohorSafeZone
#MajuJohor


