KILAUAN PINGAT TERUS DIHASILKAN KELUARGA CIK MAT KILAU

Keluarga Cik Mat Kilau terus mencuri perhatian di pentas sukan negara apabila atlet olahraga Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau, 20, meneruskan legasi kejayaan kakaknya dengan menyumbangkan pingat perak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor XXII.
#Serdang – Keluarga Cik Mat Kilau terus mencuri perhatian di pentas sukan negara apabila atlet olahraga Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau, 20, meneruskan legasi kejayaan kakaknya dengan menyumbangkan pingat perak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor XXII.
Turun dalam acara 110 meter lari berpagar lelaki, Muhammad Hazriq berjaya mencatatkan masa 13.830 saat untuk menamatkan saingan di tempat kedua, menyaksikan beliau memperbaiki rekod pencapaian di pentas SUKMA miliknya sebelum ini iaitu meraih pingat gangsa dalam acara sama pada edisi SUKMA Sarawak 2024.
Lebih istimewa, kejayaan Muhammad Hazriq hadir dengan satu kisah keluarga yang cukup bermakna apabila kakaknya, Nur Syaqirah Cik Mat Kilau, 22, terlebih dahulu mencipta kenangan manis buat kem olahraga Johor pada edisi SUKMA Sarawak 2024 yang menyumbangkan pingat emas kepada Kontinjen Johor menerusi acara 400 meter lari berpagar wanita.
Sementara itu, kehadiran Nur Syaqirah ketika adik bongsunya beraksi di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) petang tadi ternyata menjadi ‘tonik’ tambahan kepada Muhammad Hazriq apabila kakaknya sentiasa mengingatkan supaya kekal fokus, tenang dan memberikan aksi terbaik di atas trek.
Selain itu, atlet yang berasal dari daerah Kota Tinggi itu juga turut menzahirkan rasa syukur atas pencapaian tersebut, selain merakamkan penghargaan kepada keluarga, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) serta seluruh penyokong yang tidak pernah jemu untuk memberikan sokongan sepanjang perjuangannya dalam bidang sukan yang amat diminatinya sejak dari dahulu lagi.
Selepas SUKMA Selangor XXII, Muhammad Hazriq dijadualkan meneruskan cabaran dalam beberapa kejohanan antarabangsa dan peringkat universiti, termasuk Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) mewakili Universiti Malaya (UM) pada Ogos 2026 dan bakal mewakili negara dalam Asian University Games (AUG) pada Disember 2026.
#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


