JOHOR OPTIMUM POTENSI 5,361 TANAH WAKAF

YB Tuan Haji Mohd Fared Haji Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor meneliti pembentangan Pelan Kemajuan Wakaf MAINJ bagi memperincikan hala tuju serta pelaksanaan pembangunan wakaf di negeri ini. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda pembangunan wakaf menerusi Pelan Kemajuan Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang dirangka bagi mengoptimumkan potensi 5,361 tanah wakaf berkeluasan keseluruhan 18,669 ekar di seluruh negeri.
Pelan berkenaan telah melalui beberapa siri perbincangan, penelitian dan penambahbaikan sebelum dibentangkan sebagai langkah penting dalam merangka hala tuju pembangunan wakaf yang lebih tersusun, strategik, berimpak dan berdaya saing.
Lima teras strategik menjadi fokus utama pelan berkenaan iaitu pengukuhan tadbir urus wakaf, pembangunan dan pemerkasaan ekonomi wakaf, inovasi dan digitalisasi wakaf, pembangunan modal insan dan literasi wakaf serta kolaborasi strategik dan jaringan pintar.
Kerajaan Negeri mahu institusi wakaf dibangunkan sebagai satu ekosistem menyeluruh dengan setiap komponen saling melengkapi dan bergerak seiring bagi menjana manfaat lebih besar kepada ummah.
Gerak kerja pelaksanaan pelan berkenaan akan dimulakan segera bagi membolehkan inisiatif yang dirancang diterjemahkan dalam Belanjawan Johor 2027 sebelum dilaksanakan secara berfasa mulai tahun depan.
Usaha tersebut selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperluas peranan wakaf agar tidak hanya dilihat sebagai aset yang diamanahkan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan ummah.
Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Fared Haji Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor meneliti pembentangan Pelan Kemajuan Wakaf MAINJ bagi memperincikan hala tuju serta pelaksanaan pembangunan wakaf di negeri ini.
#JohorSafeZone
#WakafJohor
#PelanKemajuanWakaf
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



