SRBJ LAHIRKAN MURID KREATIF DAN BERINOVASI

YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merasmikan Karnival STEM X TASEK Peringkat Negeri Johor Tahun 2026 di SRBJ, SMK Tasek Utara. | Foto FB Dr. Naqib Ghazali
#IskandarPuteri – Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) terus menjadi platform yang memberi ruang dan peluang kepada murid untuk meneroka idea, mencuba pendekatan baharu serta menghasilkan inovasi menerusi pelbagai pengisian berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Cetusan ilham DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam memperkenalkan inisiatif SRBJ ini telah menjadi pemangkin kepada usaha Kerajaan Negeri mentransformasikan landskap pendidikan Johor dengan melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, berkemahiran, berakhlak dan mampu bersaing di peringkat global.
Lebih 200 peserta daripada pelbagai sekolah telah menyertai Karnival STEM X TASEK Peringkat Negeri Johor Tahun 2026 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara yang juga merupakan sekolah perintis pelaksanaan SRBJ, semalam.
Karnival berkenaan mengetengahkan pelbagai aktiviti termasuk Pertandingan Inovasi Kelestarian, Poster Digital Kelestarian, pameran projek dan aplikasi digital, robotik, bengkel mini robotik, ceramah mikroplastik serta lawatan ke projek Greenhouse SMK Tasek Utara.
Pengisian tersebut secara tidak langsung memberi peluang kepada murid untuk mengaplikasikan ilmu di luar bilik darjah melalui proses mencuba, menguji idea, menyelesaikan masalah dan menghasilkan sesuatu yang boleh memberi manfaat.
Pendekatan berkenaan selari dengan usaha memperkukuh penguasaan STEM dalam kalangan generasi muda, selain menggalakkan lebih ramai anak Johor meneroka bidang kejuruteraan, TVET dan kemahiran tinggi sebagai persediaan menghadapi tuntutan dunia yang semakin dipacu oleh penggunaan teknologi.
Inisiatif SRBJ turut menjadi sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem pendidikan Johor dengan melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, berkemahiran, berakhlak dan mampu bersaing di peringkat global.
Turut disampaikan ialah elaun khas kepada guru SRBJ sebagai tanda penghargaan Kerajaan Johor atas komitmen dan usaha mereka dalam memastikan pelaksanaan inisiatif serta program SRBJ berjalan lancar.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merasmikan Karnival STEM X TASEK Peringkat Negeri Johor Tahun 2026 di SRBJ, SMK Tasek Utara.
#JohorSafeZone
#STEMJohor
#SRBJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



