MAYBANK SOKONG PELABURAN JS-SEZ, MUDAH CARA RM20 BILION

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengetuai delegasi Kerajaan Negeri dalam sesi perbincangan meja bulat bersama Maybank Singapore dan Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF) sempena lawatan kerja ke Singapura.
#IskandarPuteri – Malayan Banking Bhd (Maybank) telah memudah cara hampir RM20 bilion pembiayaan dan pelaburan berkaitan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sekali gus memperkukuh sokongan sektor kewangan terhadap usaha menarik dan merealisasikan prospek pelaburan di Johor.
Peranan Maybank itu turut diberi perhatian dalam sesi perbincangan meja bulat bersama Maybank Singapore dan Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF) yang menghimpunkan wakil daripada 39 syarikat serta organisasi yang merentasi sektor kewangan, pembuatan dan kejuruteraan, kesihatan, ekonomi digital, infrastruktur serta utiliti.
Sokongan pembiayaan dan pelaburan ini disifatkan amat penting dalam usaha memperkukuh ekosistem JS-SEZ, khususnya bagi membantu pelabur merealisasikan projek serta memperluas aktiviti perniagaan di Johor.
Prestasi ekonomi Johor yang memberangsangkan turut menjadi antara asas kepada keyakinan pelabur terhadap negeri ini apabila ekonomi Johor mencatat pertumbuhan 8.0 peratus pada 2025, tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM170.9 bilion serta RM110 bilion pelaburan telah diluluskan.
Dalam kawasan JS-SEZ pula, sebanyak RM77 bilion pelaburan melibatkan hampir 400 projek yang dianggarkan mampu mewujudkan lebih 24,500 peluang pekerjaan baharu, sekali gus memperlihatkan potensi besar yang dimiliki Johor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi serantau.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dengan memastikan setiap latihan dan kemahiran dapat diselaraskan mengikut keperluan sebenar industri.
Kerjasama bersama pemain industri dan institusi kewangan seperti Maybank serta SMF turut membuka ruang kepada Johor untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang mampu membawa masuk teknologi terkini, kepakaran dan peluang perniagaan kepada negeri.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengetuai delegasi Kerajaan Negeri dalam sesi perbincangan meja bulat bersama Maybank Singapore dan Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF) sempena lawatan kerja ke Singapura.
#JohorSafeZone
#JSSEZ
#Maybank
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


