BOMBA PADAM 80.5 PERATUS KEBAKARAN TANAH GAMBUT DI PENGERANG

Perkembangan itu menunjukkan peningkatan positif berbanding 34.8 hektar atau 67.7 peratus yang berjaya dipadamkan setakat jam 8 pagi tadi, dengan tambahan 6.3 hektar kawasan berjaya dikawal dalam tempoh berkenaan. | Foto JBPM Negeri Johor
#IskandarPuteri – Sebanyak 41.1 hektar daripada keseluruhan 51.4 hektar atau bersamaan 80.5 peratus kawasan yang terjejas akibat kebakaran tanah gambut di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove, Pengerang berjaya dipadamkan, setakat jam 12 tengah hari tadi.
Perkembangan itu menunjukkan peningkatan positif berbanding 34.8 hektar atau 67.7 peratus yang berjaya dipadamkan setakat jam 8 pagi tadi, dengan tambahan 6.3 hektar kawasan berjaya dikawal dalam tempoh berkenaan.
Sektor B seluas 15.8 hektar pula telah berjaya dipadamkan sepenuhnya, manakala di Sektor A pula, sebanyak 25.3 hektar daripada keseluruhan 35.6 hektar berjaya dipadamkan.
Operasi pemadaman diketuai PBT II Abd Rahim Abdul Rani selaku Komander Operasi turut disokong TPgB II Suhailah Hasan sebagai Komander Operasi Kanan dengan pemadaman dan kawalan ‘fire break’ dilaksanakan secara berterusan selama 24 jam oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor serta pemantauan menggunakan unit dron.
Operasi berkenaan turut melibatkan dua jentera pemadam, 12 water tanker dan tiga kenderaan utiliti dengan kekuatan dua pegawai kanan serta 36 anggota JBPM, selain bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Ranhill SAJ dan agensi berkaitan.
Pasukan operasi juga berdepan dengan cabaran keadaan cuaca panas, kering dan angin kencang yang mempercepatkan penyebaran bara api dalam lapisan gambut, selain beberapa kesukaran seperti laluan sempit, struktur tanah lembut serta ketiadaan sumber air terbuka berhampiran.
Bagi Sektor A, pemadaman dilaksanakan secara ‘direct attack’ di bahu jalan menggunakan aliran air, pam angkut, ‘water dam’ serta bekalan daripada water tanker dan lori tangki SAJ, manakala Sektor B kini dalam pemantauan berterusan bagi mengelakkan kebakaran berulang.
Justeru, orang ramai khususnya pengguna jalan raya di sepanjang Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati berikutan jarak penglihatan yang terhad akibat kepekatan asap di kawasan berkenaan.
#JohorSafeZone
#ElakPembakaranTerbuka
#KebakaranTanahGambut
#FenomenaElNino
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


