JMR RAIH TEMPAT KEDUA KELAS PRO-AM DI SUZUKA 1000

Pencapaian di Suzuka itu melengkapkan musim perlumbaan 2026 yang membanggakan buat JMR menerusi kedudukan tiga terbaik di Bathurst 12 Jam, tempat kedua di Suzuka 1000, kemenangan dalam perlumbaan 24 Jam Spa serta kejayaan menamatkan perlumbaan 24 Jam Le Mans pada penampilan sulung pasukan berkenaan. | Foto Johor Racing
#IskandarPuteri – Johor Motorsports Racing (JMR) meneruskan prestasi cemerlang dalam Kejohanan GT Antara Benua apabila meraih tempat kedua bagi kelas Pro-Am pada perlumbaan ketahanan Suzuka 1000 GT3 di Litar Suzuka, Jepun.
Pasukan yang dibarisi oleh YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor serta pelumba profesional Ben Green itu menamatkan perlumbaan selama enam jam 30 minit, sekali gus menempah tempat di podium.
Bermula di petak ketiga, jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R bernombor 99 pada awalnya merosot ke kedudukan kelima sebelum aksi konsisten Ben Green membantu pasukan melonjak ke tempat kedua ketika perlumbaan memasuki separuh jarak.
Kedudukan tersebut berjaya dikekalkan sehingga tamat perlumbaan sejauh 1,068 kilometer, selain menyaksikan pasukan Pro-Am JMR menduduki tempat ketiga dalam ‘Independent Cup’.
Sementara itu, pasukan profesional JMR yang dianggotai Scott McLaughlin, Nicky Catsburg dan Alexander Sims menamatkan perlumbaan di tempat keempat keseluruhan serta kelas Pro selepas bersaing rapat untuk merebut tempat di podium sepanjang perlumbaan.
Pencapaian di Suzuka itu melengkapkan musim perlumbaan 2026 yang membanggakan buat JMR menerusi kedudukan tiga terbaik di Bathurst 12 Jam, tempat kedua di Suzuka 1000, kemenangan dalam perlumbaan 24 Jam Spa serta kejayaan menamatkan perlumbaan 24 Jam Le Mans pada penampilan sulung pasukan berkenaan.
Kejayaan itu turut mengukuhkan prestasi JMR dalam Kejohanan GT Antara Benua apabila pasukan terbabit mencatat sekurang-kurangnya keputusan podium atau kemenangan dalam setiap perlumbaan yang disertainya sepanjang musim 2026.
#JohorMotorsports
#JohorRacing
#Suzuka1000
#KejohananGTAntaraBenua
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



