SIAPA PULA SELEPAS INI?

Keberangkatan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota mungkin tidak mampu mengembalikan Allahyarham Irene Sofiya kepada keluarganya, namun mudah-mudahan ia memberikan sedikit kekuatan kepada mereka, dan menjadi peringatan kepada kita semua bahawa anak-anak bukan sekadar pewaris masa depan — mereka adalah amanah yang perlu kita jaga sebelum ia mungkin sesuatu yang sudah terlambat. | Foto Royal Press Office

Oleh: Muhammad Imran Mohd Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor
1. Terlebih dahulu, penulis ingin merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga adik Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, pelajar yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, baru-baru ini.
2. Kehilangan seorang anak dan cucu pada usia yang masih muda tentunya meninggalkan luka yang amat mendalam, apatah lagi apabila pemergian itu berlaku dalam keadaan yang begitu menyayat hati.
3. Anak adalah harapan sebuah keluarga, tempat kasih dicurahkan, impian disandarkan dan masa depan diimpikan, maka kehilangan seorang anak bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima oleh sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi jika ia berlaku dalam keadaan tragis seperti ini.
4. Dalam saat penuh kedukaan itulah, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor menziarahi keluarga Allahyarham Irene Sofiya membawa makna yang cukup besar.
5. Baginda berdua meluangkan masa bertemu datuk dan nenek Allahyarham Irene Sofiya, Encik Khayar Abas dan Puan Jameyah Rabani, selain membaca surah Yassin bersama-sama serta menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa, hari ini.
6. Barangkali bagi sesetengah orang ia hanya sebuah kunjungan dan ziarah, namun bagi keluarga yang sedang berduka, kehadiran itu membawa satu pesan bahawa mereka tidak mengalami kesedihan tersebut secara sendirian dan secara tidak langsung memberi sedikit kekuatan kepada ahli keluarga yang lain untuk terus cekal menjalani kehidupan selepas ini.
7. Di sebalik kemuliaan dan protokol Institusi DiRaja Johor, terserlah sisi kasih dan kemanusiaan yang cukup dekat dengan rakyat — hadir ketika suasana gembira dan tidak sesekali pernah berpaling ketika rakyat sedang berdepan duka.
8. Lebih-lebih lagi apabila yang menjadi perhatian umum adalah seorang anak perempuan yang masih muda, yang sepatutnya mempunyai perjalanan hidup panjang untuk dilalui namun menemui titik noktah yang menyedihkan.
9. Justeru, kasih kepada anak-anak bukan hanya tentang meraikan kejayaan mereka, tetapi juga perlu melihat bagaimana cara yang terbaik untuk memastikan mereka sentiasa dilindungi, didengari dan berasa selamat dalam setiap ruang kehidupan.
10. Kejadian ini sewajarnya mengingatkan kita bahawa sekolah harus menjadi tempat anak-anak membina ilmu, persahabatan dan masa depan, bukannya ruang yang membuatkan mereka hidup dalam ketakutan.
11. Dalam hal ini, isu buli juga tidak boleh lagi dilihat sebagai kenakalan biasa kerana sesuatu yang bermula kecil boleh meninggalkan kesan besar terhadap emosi, keyakinan dan kehidupan seorang anak.
12. Apatah lagi hari ini, gangguan tidak semestinya berakhir apabila anak melangkah keluar dari sekolah kerana media sosial boleh membawa tekanan dan penghinaan itu terus ke rumah.
13. Sebab itu, usaha untuk membanteras buli tidak boleh hanya menunggu sehingga ada yang menjadi mangsa sebelum tindakan diambil. Pencegahan, keberanian melaporkan dan pendidikan tentang empati perlu bermula lebih awal.
14. Johor sendiri telah mengambil langkah melalui usaha seperti Jawatankuasa Khas Anti-Buli Negeri Johor, Kempen Anti-Buli Negeri Johor dan Johor Safe Zone bagi memperkukuh ikhtiar dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat.
15. Namun usaha ini tidak akan benar-benar berhasil jika perkara itu hanya diletakkan di bahu kerajaan atau sekolah kerana ibu bapa, guru, rakan sebaya dan masyarakat semuanya mempunyai peranan untuk mengenal pasti, mencegah dan bertindak apabila melihat sesuatu yang tidak kena.
16. Persoalannya, kalau kita sudah tahu kesan buli boleh sebegitu berat, siapa pula yang akan menjadi mangsa selepas ini?
17. Adakah kita mahu menunggu sehingga ada lagi keluarga yang perlu menangis sebelum kita benar-benar bertindak, sedangkan setiap anak yang kita lindungi hari ini mungkin adalah satu tragedi yang boleh atau mampu untuk kita elakkan?
18. Dalam kita mencari jawapan terhadap kejadian ini, proses siasatan perlu terus dihormati dan keluarga Allahyarham Irene Sofiya wajar diberikan ruang untuk melalui tempoh berduka tanpa dibebani oleh sebarang spekulasi atau kesimpulan yang belum disahkan.
19. Hakikatnya, sebuah negara yang mahu melihat generasinya melangkah jauh bukan sahaja perlu menyediakan pendidikan yang baik, tetapi juga harus memastikan anak-anaknya dapat membesar dalam ruang persekitaran yang selamat, dihormati dan penuh rasa peduli.
20. Keberangkatan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota mungkin tidak mampu mengembalikan Allahyarham Irene Sofiya kepada keluarganya, namun mudah-mudahan ia memberikan sedikit kekuatan kepada mereka, dan menjadi peringatan kepada kita semua bahawa anak-anak bukan sekadar pewaris masa depan — mereka adalah amanah yang perlu kita jaga sebelum ia mungkin sesuatu yang sudah terlambat.
#JohorSafeZone
#KempenAntiBuli
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


