TIGA DIMENSI EKONOMI GEOGRAFI PERKUKUH DAYA SAING JOHOR

Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), menjelaskan konsep yang dikaitkan dengan tokoh ekonomi Paul Krugman itu dapat membantu menerangkan mengapa aktiviti ekonomi dan pertumbuhan tertumpu di lokasi tertentu. | Foto MDJ Nazreen
#IskandarPuteri – Pendekatan ekonomi geografi menerusi ‘Tiga D’ atau tiga dimensi, iaitu ketumpatan (Density), jarak (Distance) dan pemisahan (Division), dilihat relevan dengan pembangunan ekonomi Johor yang semakin berkembang pesat menerusi pelbagai inisiatif strategik.
Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), menjelaskan konsep yang dikaitkan dengan tokoh ekonomi Paul Krugman itu dapat membantu menerangkan mengapa aktiviti ekonomi dan pertumbuhan tertumpu di lokasi tertentu.
Katanya, Krugman yang juga penerima Hadiah Peringatan Nobel dalam Sains Ekonomi pada 2008 atas sumbangannya dalam bidang ekonomi geografi memberi penekanan kepada persoalan mengapa sesuatu lokasi sesuai untuk aktiviti ekonomi tertentu serta bagaimana pertumbuhan dapat terbentuk di sesuatu kawasan.
Dalam konteks Johor, aspek ketumpatan dapat dilihat menerusi kluster industri dan aktiviti ekonomi yang saling berkaitan melalui pembangunan wilayah Iskandar Malaysia, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta pelbagai projek strategik lain.
Aspek jarak pula meliputi hubungan fizikal dan ekonomi yang mempengaruhi pergerakan bakat, produk serta perkhidmatan, termasuk melalui pengukuhan hubungan pengangkutan dan hubungan rentas sempadan Johor-Singapura.
Sementara itu, aspek pemisahan berkait dengan halangan antara agensi dan karenah birokrasi yang boleh menjejaskan kelancaran proses pembangunan, menjadikan penyelarasan kerajaan penting dalam mempercepat pertumbuhan.
Justeru, pendekatan Johor Super Lane (JSL) yang memperkukuh penyelarasan antara agensi dan mempercepat proses membuat keputusan dilihat selari dengan keperluan tersebut, sekali gus mengukuhkan kecekapan kerajaan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Pelbagai inisiatif pembangunan wilayah yang sedang dilaksanakan di Johor juga dilihat menepati kerangka pertumbuhan Krugman, dengan gabungan ketumpatan, jarak dan pemisahan menjadi asas penting untuk membentuk pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh di negeri ini.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


