25,791 UNIT RMMJ SIAP DIBINA SETAKAT SUKU KETIGA TAHUN 2026

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menjawab soalan mengenai strategi mencapai sasaran 100,000 unit RMMJ menjelang 2030 pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini. | Foto MDJ Nazreen
#IskandarPuteri – Usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh penyediaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) terus berada pada landasan yang ditetapkan apabila sebanyak 25,791 unit telah siap dibina sehingga suku ketiga tahun 2026, manakala baki 4,209 unit disasarkan siap menjelang akhir tahun ini.
Bagi tempoh 2027 hingga 2030 pula, Kerajaan Negeri menyasarkan penyediaan 70,000 unit RMMJ baharu sebagai kesinambungan kepada sasaran keseluruhan 100,000 unit menjelang 2030.
Perancangan bagi tahun 2027 akan memberi tumpuan kepada projek yang mula dibina, penawaran kepada pemohon yang layak serta penyiapan projek sedia ada, dengan sasaran sebanyak 7,000 unit mula dibina dan 5,500 unit siap dibina.
Bagi memastikan penyediaan RMMJ dibuat secara lebih seimbang, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) menggunakan data Sistem e-Rumah Johor, jumlah pemohon yang layak, bekalan rumah, pendapatan isi rumah serta kesesuaian tapak bagi menentukan keperluan perumahan mengikut 10 daerah dan 56 kawasan Dewan Negeri (DUN) di Johor.
Pendekatan itu turut memberi keutamaan kepada kawasan yang kurang bekalan, khususnya kawasan luar bandar, dengan penelitian mendapati 14 DUN menerima kurang daripada 20 unit RMMJ sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.
Selain RMMJ, Kerajaan Negeri turut merancang penyediaan 200 unit Rumah Kasih Johor pada tahun depan, dengan penggunaan tanah kerajaan, wakaf dan baitulmal akan diteliti bersama agensi berkaitan bagi memperluas peluang pemilikan kediaman.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, menjawab soalan mengenai strategi mencapai sasaran 100,000 unit RMMJ menjelang 2030 pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


