INFRASTRUKTUR PENGANGKUTAN SOKONG PERTUMBUHAN EKONOMI
ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam, meninjau operasi Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, salah sebuah pintu masuk negara melalui jalan laut bagi memudahkan kedatangan pelancong ke negeri ini.
Menurut beliau, seramai 141,720 pelawat berulang alik dari Batam dan Tanjung Balai menerusi perkhidmatan feri di terminal itu yang dimiliki dan dikendalikan oleh UEM Sunrise Berhad pada tahun lalu.
“Bagi tahun 2019 sehingga 2022, kira-kira 36 peratus pengunjung yang tiba di terminal feri ini adalah pelancong kesihatan yang mendapatkan rawatan di Johor.
“Ini membuktikan pentingnya penyediaan infrastruktur pengangkutan seperti terminal ini bagi terus menyokong pertumbuhan sektor ekonomi tempatan yang lain,” kata beliau.
Selain itu, Onn Hafiz memberitahu telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar mengkaji dan melihat cara bagi membolehkan perjalanan dari Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour ke Singapura.
“Dengan laluan baharu ini, ia diyakini dapat memudahkan lagi akses perjalanan antara Johor dan Singapura, sekali gus membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi di negeri ini.
“Insya Allah, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan UEM Sunrise Berhad untuk menambah baik mutu perkhidmatan terminal feri ini bagi manfaat ekonomi dan rakyat Johor,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor