BANJIR DI JOHOR TERUS MENURUN
ISKANDAR PUTERI — Meski pun hujan berterusan masih melanda negeri ini, namun situasi banjir terus menunjukkan trend penurunan apabila seramai 2,191 penduduk masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah, di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi Rohani, berkata sehingga jam 4 petang tadi hanya sebuah PPS sahaja baharu dibuka berbanding lapan PPS yang sudah ditutup berikutan keadaan banjir yang semakin beransur pulih.
“Tujuh daerah iaitu Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Kluang masih terjejas dengan banjir namun keadaannya adalah terkawal.
“Dari sudut operasi pula, seramai 2,191 penduduk dari 610 keluarga masih berlindung di PPS yang beroperasi berhampiran kediaman mereka yang dinaiki air, berbanding sejumlah 2,469 mangsa dari 675 keluarga setakat jam 2 petang sebelum ini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor berkata, tindakan proaktif dan bersepadu antara Kerajaan Negeri dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain secara tidak langsung turut membantu impak banjir kali ini.
“Jika dilihat daripada statistik semasa, jumlah mangsa banjir kini berkurangan sebanyak 60.37 peratus berbanding seramai 5,528 mangsa terjejas banjir yang direkodkan pada 26 Januari lalu.
“Begitu juga dengan jumlah PPS yang sudah ditutup iaitu sebanyak 29 buah atau 50 peratus berbanding rekod 58 PPS yang dibuka sebelum ini,” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini kerajaan negeri sudah melaksanakan beberapa inisiatif seperti projek mendalamkan parit dan sungai di seluruh negeri ini yang berfungsi untuk mengurangkan impak banjir pada musim tengkujuh.
Selain itu, inisiatif Johor Bersih yang dilaksanakan juga menyebabkan sistem aliran air di saliran di seluruh negeri berfungsi dengan baik dan seterusnya menyebabkan keadaan banjir mudah di kawal.
Bagaimanapun, statistik taburan hujan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang tinggi menyebabkan keadaan banjir sukar untuk dielakkan namun ia dapat dikawal sebaiknya berbanding dekad lalu sebelum ini.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor