EXCO KERAJAAN JOHOR BUAT KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS KONSUL JENERAL MALAYSIA DI DUBAI


EXCO Kerajaan Johor, Mohd Hairi Mad Shah mengadakan kunjungan hormat kepada Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Fadly Amri Aliaman | Sumber gambar Facebook Hairi Md Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah mengadakan kunjungan hormat kepada Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Fadly Amri Aliaman.

 

Pertemuan tersebut berlangsung ketika Mohd Hairi yang kini berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menyaksikan persiapan pra-musim Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

 

Beliau memberitahu telah berkongsi mengenai inisiatif dijayakan kerajaan negeri terhadap pembangunan usahawan Johor selain meninjau peluang bagi membolehkan pengusaha tempatan meneroka pasaran Dubai.

 

“Saya mengambil kesempatan ini berkongsikan kepada Konsul Jeneral mengenai apa yang usahawan Johor boleh bersama dan diberi peluang khususnya dalam sebarang perusahaan kecil sederhana selain apa sahaja peluang yang boleh dikongsikan di Dubai ini untuk usahawan di Negeri Johor dapat menjangkau dan bertapak dari luar kebiasaan,” kata beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Selain itu, dengan kerjasama rakan konsulat, Mohd Hairi turut memaklumkan akan berkongsi data pemakluman dari segi sudut bilangan usahawan Johor yang berjaya masuk ke Dubai dan usahawan Dubai yang menjalankan perniagaan di negeri ini.

 

“Perkongsian maklumat ini penting dan data ini sekali gus dapat menggalakkan dan memberi motivasi buat usahawan kecil untuk bertapak membesarkan lagi perniagaan.

 

“Seterusnya, menjadikan Johor sebagai apa yang digagaskan Menteri Besar Johor yang mahu menjadikan Johor negeri maju menjelang tahun 2030. Sehubungan itu Johor perlu berfikir di luar daripada kotak kebiasaan,” kata beliau lagi.

 

Sementara itu, Mohd Hairi turut menjunjung kasih terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas perkenan untuk dirinya melihat persiapan pasukan JDT bagi perlawanan pra-musim di Dubai.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor