MANGSA BANJIR DI PPS MENUNJUKKAN PENURUNAN


Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJKC Chong Hwa di Batu Pahat merupakan PPS baharu yang dibuka petang tadi, bagi memberikan perlindungan kepada mangsa banjir.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 2,564 orang daripada 718 keluarga ditempatkan di 31 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mendapatkan perlindungan susulan kejadian banjir, setakat jam 8 malam.

 

Jumlah mangsa terkini itu menyaksikan trend penurunan berbanding 2,729 orang daripada 765 keluarga, yang direkodkan jam 4 petang tadi.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, meskipun jumlah mangsa menunjukkan penurunan, namun satu PPS baharu dibuka di Batu Pahat.

 

“PPS yang dibuka ini adalah SJKC Chong Hwa pada jam 5 petang. Buat masa sekarang, belum ada perincian berkaitan jumlah keluarga dan penduduk serta kawasan yang terjejas.

 

“Maklumat berkaitan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS ini masih dalam proses kemaskini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu pertambahan satu PPS itu menjadikan keseluruhan lapan PPS kini beroperasi di Batu Pahat.

 

“Sekiranya dibandingkan dengan data jam 4 petang tadi, tiada perubahan jumlah mangsa banjir bagi daerah Segamat, Tangkak, Kluang dan Kota Tinggi.

 

“Mersing pula terdapat penurunan ketara jumlah mangsa iaitu 1,007 orang daripada 291 keluarga jam 4 petang tadi, kepada 839 orang daripada 244 keluarga yang terkini,” katanya.

 

Bagi maklumat terkini berkaitan jalan terputus hubungan, dua laluan iaitu Jalan Tanah Abang / Selekoh Pertama Tanah Abang (J228) di Mersing dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan.

 

Sementara Jalan Belukar Juling (J75) dan Jalan Endau-Penyabong (J182) di Mersing serta Jalan Mawai Lama (J172) di Kota Tinggi hanya dibuka kepada kenderaan berat manakala Jalan Kahang Barat (J94) dibuka kepada kenderaan berat dan ringan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor