HUBUNGAN JOHOR-SINGAPURA TERUS KUKUH, AKRAB
ISKANDAR PUTERI — Dengan bantuan Kerajaan Persekutuan, hubungan Johor dan Singapura akan terus kukuh dan akrab sekali gus membawa limpahan manfaat menguntungkan kedua belah pihak, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurutnya, hasil lawatan kerjanya bersama delegasi kerajaan negeri pada 12 hingga 14 Februari lalu, pelbagai perkara telah dipersetujui antara Johor dan Singapura selain perkongsian kepakaran dan pernyataan hasrat pelaburan.
“Ini merupakan satu manifestasi bahawa kerjasama Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri adalah senada dalam mengeratkan lagi hubungan akrab antara Kerajaan Malaysia dan juga Singapura,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.
Pertemuan bersama Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan dan Menteri Ehwal Luar Kedua Singapura, Dr. Mohamad Maliki Osman, Onn Hafiz berkata, Singapura menzahirkan penghargaan kepada Malaysia dan Johor yang sentiasa membantu terutamanya semasa COVID-19 melanda.
Ujarnya, ketika pertemuan bersama Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura, Grace Fu pula, empat agenda dibicnagkan iaitu Carbon Credit, keterjaminan makanan, pembersihan sungai dan pelan mitigasi banjir.
Selain itu, dalam pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran, Menteri Besar Johor memaklumkan antara perkara dipersetujui bersama adalah mengenai Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada bulan Januari 2027.
“Dalam sesi perjumpaan saya dengan pelabur-pelabur juga, saya berjumpa dengan empat syarikat. Pertamanya, AirTrunk iaitu syarikat pusat data berskala besar. Keduanya, Wilhelmsen group, sebuah syarikat Maritim. Ketiganya, syarikat dari China dalam urusan petrokimia dan keempat syarikat Archisen yang melihat kepada ‘Modern Farming’.
“Akhirnya, saya berjumpa dengan Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF). Saya teruja dan gembira untuk melaporkan bahwa peserta persekutuan yang terlibat, mengeluarkan hasrat untuk datang ke Johor untuk melabur,” katanya lagi.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor