ADUN LARKIN IMARAH RAMADAN ANJUR SINGGAH SAHUR


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah menyantuni anak-anak di Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, awal pagi tadi. | Sumber foto: Facebook Hairi Md Shah

 

 

ISKANDAR PUTERI — Menghargai sumbangan keringat dan pengorbanan petugas keselamatan selain mengingati golongan memerlukan sempena Ramadan tahun ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah mengambil inisiatif mengedarkan juadah makan sahur sempena program Singgah Sahur, awal pagi tadi.

 

Lokasi dikunjungi bermula Balai Polis Majidee disusuli dengan Pusat Jagaan Warga Emas Anwarul Mahabbah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh serta Balai Bomba dan Penyelamat Larkin.

 

Mohd Hairi berkata, program Singgah Sahur itu melibatkan lima lokasi persinggahan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang turut disertai oleh pemimpin masyarakat setempat serta pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV).

 

“Program yang bermula jam 12.30 tengah malam tadi menyaksikan konvoi menuju ke lokasi pertama Singgah Sahur iaitu di Balai Polis Majidee sebelum diteruskan ke Pusat Jagaan Warga Emas Anwarul Mahabbah di mana selain juadah KFC untuk bersahur, turut disampaikan juga hamper sempena Hari Raya Aidilfitri.

 

“Lokasi seterusnya adalah di IPD Johor Bahru Selatan, kemudian ke Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh dan seterusnya berakhir di Balai Bomba dan Penyelamat Larkin kira-kira jam 3 pagi tadi,” katanya.

 

Pegawai-pegawai bomba, pasukan Southern Volunteers (SV), pemimpin-pemimpin masyarakat dan EXCO Mohd Hairi di Balai Bomba dan Penyelamat Larkin.

 

 

Sejurus selesai Singgah Sahur DUN Larkin itu, Mohd Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor meluangkan masa bersahur bersama pemimpin masyarakat setempat serta pasukan sukarelawan SV.

 

“Terima kasih kepada semua yang menjayakan Program Singgah Sahur DUN Larkin dan diharapkan usaha baik ini dapat diteruskan pada Ramadan yang akan datang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor