SENAMROBIK DI TAMAN MERDEKA TARIKAN UMUM
JOHOR BAHRU — Gaya hidup sedentari atau ‘tidak aktif’ untuk jangka masa lama amat berbahaya kerana berisiko mengakibatkan penyakit antaranya penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolestrol.
Kesemua penyakit ini sekiranya tidak dikesan dan dirawat dengan lebih awal, boleh mengundang kepada serangan atau kegagalan jantung berfungsi seperti biasa.
Oleh itu, Kempen Gaya Hidup Sihat dilancarkan sejak tahun 1991 merupakan inisiatif kerajaan dalam memastikan orang awam untuk terus kekal aktif dan sihat.
Fokus utama kempen adalah menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti senaman dan regangan selain mempromosikan kesedaran kesihatan.
Di Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan pihak CJ Century Logistics Sdn. Bhd. menyahut seruan kerajaan negeri dengan menganjurkan Program Senamrobik di Taman Merdeka, Johor Bahru.
Taman Merdeka berkeluasan 31 ekar merupakan lokasi rekreasi komuniti dibuka secara rasmi pada tahun 2011 menjadi destinasi umum melakukan aktiviti rekreasi, regangan serta senaman berjadual seperti aerobik dan Tai Chi.
Bagi Syed Abdul Rahman Syed Jaafar, 72, ketika ditemui Media Digital Johor berkongsikan mengenai sukan melibatkan penyertaaan massa atau beramai-ramai iaitu aerobik dikendalikannya di Taman Merdeka.
“Sistem bunyi dan lagu yang kita gunakan memainkan peranan yang sangat penting. Musik ini diibaratkan sebagai galakkan ataupun penyedap kepada gerakan aerobik kita. Keistimewaan pasukan kita ialah menggunakan kombinasi lagu antara dua generasi antaranya lagu 80-an, hindustan, lagu cina dan lagu-lagu terkini.
“Jadi dengan adanya kombinasi lagu daripada generasi yang berbeza, saya hasilkan pergerakan koreografi mengikut rentak lagu. Sekarang lebih ramai orang berbangsa Cina yang turut serta sebab saya mainkan lagu-lagu mereka. Kemudian, secara tidak langsung, kami, pihak jurulatih boleh hasilkan pergerakan Tai Chi.
“Kita selitkan juga unsur pergerakan silat. Inilah keunikan kami dari segi kepelbagaian dan variasi dalam pergerakan yang kita hasilkan,” kata beliau yang merupakan Ketua Jurulatih Sukan Aerobik di Taman Merdeka dan lebih mesra dikenali sebagai Pak Habib.
Syed Abdul Rahman juga menegaskan aktiviti senaman tidak boleh dilaksanakan tanpa pengawasan kerana setiap individu perlu menitikberatkan keselamatan dan etika pemakaian bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Beliau turut berkongsi terdapat dua jenis rehat iaitu pasif dan aktif, namun memaklumkan kepentingan rehat pasif yang dapat memulihkan tenaga seseorang.
“Individu perlu melakukan aktiviti senaman secara berpada-pada mengikut had umur masing-masing. Senaman secara berlebihan mendatangkan kemudaratan,” katanya.
Salah seorang peserta, Nur Syarah Md Hashim, 24, berkata, orang ramai akan mula berada di hadapan pentas di Taman Merdeka dan bersedia untuk terlibat dalam aktviti senamrobik terutama apabila lagu dimainkan.
“Kebiasannya memang semua orang akan mula berkerumun di hadapan pentas dan bersedia untuk bersenamrobik. Lebih-lebih lagi kalau lagu mula dimainkan, semua orang nampak bersemangat termasuklah orang-orang yang dah berusia.
“Aktiviti ini ambil masa dalam 45 ke 50 minit. Pergerakan yang ditunjukkan mudah dan mesra untuk kami peserta ikut. Pergerakan koreografi Pak Habib buatkan kami peserta seronok dan tertunggu-tunggu untuk sesi seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Syed Uthman Syed Abdul Rahman, 35, selaku jurulatih sukan memberitahu program seumpama itu turut diadakan di Taman Bukit Layang-layang, Pasir Gudang, pada setiap hari Sabtu atas permintaan penduduk sekitar.
“Suka untuk saya tekankan implikasi riadah pada waktu malam seperti sukan badminton yang kini menjadi trend golongan belia. Bersenam kena selari dengan masa rehat kita, dan masa yang ideal untuk bersukan ada hadnya,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor