SKIM BANTUAN PERUMAHAN BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN


Penolong Pengarah Pengurusan Pungutan Zakat MAINJ, Ustaz Shafie Mustafa menyatakan lebih 1,000 kediaman telah dibina baru dan dibaikpulih di bawah skim diperkenalkan sejak tahun 2003 itu.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyediakan sehingga RM8 juta peruntukan bagi Skim Bantuan Perumahan untuk golongan asnaf, fakir dan miskin pada setiap tahun.

 

Penolong Pengarah Pengurusan Pungutan Zakat MAINJ, Ustaz Shafie Mustafa berkata, lebih 1,000 kediaman telah dibina baru dan dibaikpulih di bawah skim diperkenalkan sejak tahun 2003.

 

“Antara syarat utama yang diperlukan untuk menerima bantuan ini ialah pemohon perlulah mempunyai tanah hak milik sendiri atau menumpang tanah orang lain (dengan persetujuan Peguam Syarie dan Pesuruhjaya Sumpah) bagi pembinaan rumah.

 

“Keluasan rumah yang MAINJ kekalkan ialah seluas 650 kaki persegi dan ia merangkumi tiga bilik, dapur, ruang tamu dan tandas. Anggaran kos tanggungan MAINJ untuk sebuah rumah ialah sebanyak RM65,000,” katanya ketika ditemubual pihak Media Digital Johor.

 

Shafie berkata, MAINJ menawarkan bantuan baik pulih rumah sebagai usaha membantu golongan memerlukan itu mendiami rumah yang lebih selesa di mana diperuntukkan maksimum RM15,000 untuk menggantikan kerosakan struktur bangunan.

 

“Jika rumah asnaf sudah uzur, kita ada tawarkan bina semula rumah tersebut dengan lebih baik, tetapi dengan syarat rumah lama wajib dirobohkan. Bagaimanapun, kita tetap akan mengikut piawaian yang ditetapkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ). Anggaran rumah yang telah kami (MAINJ) bina ialah sebanyak 80 unit, setiap tahun.

 

“Proses pembinaan dan baikpulih rumah mengambil tempoh masa selama tiga bulan. Kebiasaannya pemohon akan tinggal dengan saudara dalam tempoh ini, tetapi jika tidak ada saudara yang berdekatan, MAINJ dengan alternatif lain akan sediakan rumah transit untuk kegunaan mereka. ,” katanya lagi.

 

Ujarnya, Rumah transit MAINJ terletak di kawasan bandar khasnya di daerah Johor Bahru iaitu Kota Masai dan Sungai Melana 2 selain Tangkak dan di Segamat.

 

Beliau memberitahu MAINJ meneliti Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pemohon dengan pendapatan maksima RM1,550 meliputi empat tanggungan termasuk seorang isteri untuk layak memohon skim itu.

 

“Kemudian, tinjauan ke rumah-rumah asnaf ini dikelola penghulu dengan bantuan amil agihan zakat menerusi Pejabat Daerah. Proses seterusnya ialah penetapan kuota pembinaan rumah bergantung kepada permohonan pihak terbabit.

 

“Untuk makluman, terdapat syarikat sebagai wakalah membantu MAINJ dalam pembinaan rumah seperti Johor Corporation (JCorp), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi zakat.

 

Shafie berharap agar Skim Bantuan Perumahan MAINJ itu akan dapat mencapai hasrat agihan bantuan zakat buat golongan asnaf dan fakir miskin di negeri ini.

 

Selain Skim Bantuan Perumahan, MAINJ turut menyediakan Skim Bantuan Hari Raya, Sara Hidup Bulanan, Perubatan, Berdikari, Pendaftaram IPT, Dermasiswa Pelajar, Pakaian Sekolah, Basikal Pelajar, Cermin Mata Pelajar, Pembiayaan Tambang Pengajian, Menjelaskan Hutang, Kebajikan Saudara Baru dan Segera (Kecemasan).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor