PROGRAM WACANA ILMU “WANITA INSPIRASIKU” BANTU USAHAWAN WANITA JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa’ Ismail merasmikan Program Wacana Ilmu ‘Wanita Inspirasiku’ KEMAS 2023 di Mydin Mall Mutiara Rini.

 

ISKANDAR PUTERI–Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Johor telah mengadakan Program Wacana Ilmu ‘Wanita Inspirasiku’ KEMAS 2023 di Mydin Mall Mutiara Rini, baru-baru ini.

 

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa’ Ismail bagi memperkenalkan serta mempromosi produk usahawan bimbingan KEMAS secara terbuka.

 

“Inisiatif program ini bersesuai dengan objektifnya iaitu mencipta peluang dan platform kepada akses pasaran produk luar bandar kepada pengedar, pembeli dan pengguna,” katanya di Facebook rasminya.

 

Khairin Nisa’ berkata, pihak KEMAS juga melaksanakan Kursus Kemahiran Quick Win selama tiga hari di mana peserta dibekalkan dengan kit peralatan yang melibatkan jahitan, masakan, dandanan diri dan seni tangan bagi memulakan perniagaan.

 

“60 peserta dari pelbagai bidang turut menerima barang keperluan tersebut seperti set bekam, pengadun makanan, mesin jahit, peralatan set bouquet, set kerusi bertangas dan lain-lain atas kesesuaian bidang masing-masing,” katanya.

Pada program sama, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) dan KEMAS dalam memberi sokongan kepada usahawan tempatan khususnya di Negeri Johor.

 

MoA tersebut menjanjikan penyediaan latihan dan program pembangunan yang mantap selain memberi peluang perniagaan dan pemasaran yang melibatkan usahawan bimbingan KEMAS Negeri Johor menerusi Sistem Pusat Data Usahawan Johor (PADU).

 

Turut diraikan penerima Anugerah Ikon Usahawan Wanita Inspirasiku KEMAS 2023, Nor Rapidah yang menceburi bidang jahitan sejak 2013 dan mereka yang menerima Anugerah Ikon Usahawan dari pelbagai bidang usahawan.

 

Hadir sama ialah Pengarah Eksekutif PUJB, Mohd Radzi Mohd Amin dan Pengarah KEMAS Negeri Johor, Zamri Mohamad.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor