JKNJ PANDANG SERIUS INSIDEN KEMATIAN DI KK PALOH


Kenyataan Media Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ)

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memandang serius insiden kematian seorang lelaki berumur 38 tahun di Klinik Kesihatan (KK) Paloh, Kluang, pada 27 Jun lalu, seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan.

 

Pengarahnya, Dr. Mohtar Pungut berkata, pihaknya akan mengambil tindakan menyeluruh bagi memastikan penyampaian kesihatan berkualiti tinggi yang mengutamakan pelanggan dengan menekankan sifat profesionalisma dan penyayang selaras misi dan visi Kementerian Kesihatan.

 

“JKNJ mengenal pasti beberapa aspek yang memerlukan perhatian seperti kedudukan KK Paloh yang jauh daripada hospital dan keperluan ambulans.

 

“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kluang akan menjalankan siasatan lanjut dan konsultasi bersama semua pihak terbabit termasuk keluarga pesakit,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

 

Mohtar berkata, JKNJ dan Pejabat Kesihatan Daerah Kluang amat prihatin terhadap kejadian yang berlaku serta sudah mengambil langkah proatif menjalankan siasatan awal terhadap berita berkenaan.

 

Ujarnya, laporan awal mendapati seorang lelaki berumur 38 tahun telah dibawa oleh ahli keluarganya ke KK Paloh pada 27 Jun 2023 setelah dijumpai tidak sedarkan diri di rumah.

 

“Ketika tiba di klinik pada jam 1.30 pagi, kes didapati tidak mempunyai tanda-tanda kehidupan. Anggota klinik yang bertugas dengan serta merta telah memberi bantuan awal kecemasan dengan melakukan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR), bantuan oksigen dan Automated External Defibrillator (AED).

 

“Pesakit perlu distabilkan dahulu sebelum dirujuk ke hospital. Panggilan amulan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) melalui jaringan MECC telah dibuat bagi rujuk ke hospital. Ambulans hospital telah tiba pada jam 2.50 pagi. Bagaimanapun, pada jam 3.15 pagi pesakit disahkan meninggal dunia,” katanya.

 

Beliau turut memberitahu mayat pesakit telah dibawa ke HEBHK oleh pihak polis untuk urusan lanjut, dan sebab kematian masih di dalam siasatan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor