MSNJ FOKUS TAMBAH KELOMPOK ATLET MENERUSI PROGRAM ‘RISE UP TALENT’


Pengarah MSNJ, Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak menjangkakan hampir 2,000 atlet dapat dilahirkan dari pelbagai disiplin sukan menjelang 2029.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) komited untuk menambah ‘pool’ atau kelompok atlet di negeri ini menerusi pelaksanaan program ‘Rise Up Talent’ (RUT) yang telah diperkenalkan pada Mei lalu.

 

Pengarah MSNJ, Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak, berkata RUT juga berperanan menggerakkan program GRIT 2030 yang menekankan kepentingan pembangunan atlet di Negeri Johor.

 

“Program GRIT (Growth, Resilient, Improve, Tenacious) 2030 juga memfokuskan kepada empat jenis sukan iaitu berbasikal, renang, olahraga dan karate yang (dijangka mampu) memberikan pulangan pingat yang banyak.

 

“RUT juga berperanan mencari dan melatih jurulatih di kalangan guru sekolah yang telah dilantik (movement coach), kerana mereka yang terlebih dahulu mengesan kebolehan murid-murid di sekolah,” katanya dalam program Konti Sukan terbitan Johor FM.

 

Tambah Mohd Ekmaluddin, MSNJ menjangkakan hampir 2,000 atlet dapat dilahirkan dari pelbagai disiplin sukan menjelang 2029.

 

“Kita telah bekerjasama dengan Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) dengan 11 buah sekolah rendah dan 11 buah sekolah menengah dipilih untuk memastikan pergerakan program pembangunan atlit dan juga jurulatih berjalan dengan bersepadu.

 

“Dengan adanya program ini, kita menjangkakan keberkesanannya dapat dilihat dalam tempoh tiga hingga empat tahun dari sekarang,” ujarnya.

 

Beliau turut menyasarkan Johor untuk berada di kelompok tiga teratas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) menerusi keberhasilan program RUT dan GRIT 2030.


#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas
#MajuJohor