KERAJAAN JOHOR TEROKA KERJASAMA DENGAN CASA


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah bersama Menteri Luar Negeri, Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir Baku, Azerbaijan. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor berhasrat meneroka potensi kerjasama dengan Pusat Seni Kulinari Azerbaijan (CASA) dalam bidang penyediaan makanan dan kulinari.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, CASA dikendalikan anak tempatan dari Melaka selaku ketua cef, Kelvin Chong.

 

Menurutnya, pusat pendidikan profesional dan antarabangsa itu menyediakan pelajar dalam bidang Diploma Kulinari yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Azerbaijan.

 

“Encik Kelvin juga memberitahu sekiranya pelajar mahu melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, mereka turut bekerjasama dengan Taylor’s University di Malaysia.

 

“Selaku EXCO Sumber Manusia, saya melihat program ini amat baik dan boleh dikembangkan ke Johor iaitu dengan kerjasama padanan kursus bersama Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) khususnya dalam bidang kulinari,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Rabu.

 

Terdahulu, beliau yang mengikuti delegasi Malaysia diketuai Menteri Luar Negeri, Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir ke Mesyuarat Penyelarasan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Baku, Azerbaijan dibawa ke CASA.

 

Dalam kunjungan ke CASA, delegasi Malaysia berpeluang melihat sendiri persiapan dari luar hingga ke ruangan dapur termasuk proses penyediaan sajian hidangan sebelum dihidang kepada pelanggan.

 

Mengulas lanjut, Mohd Hairi berkata, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) berkemungkinan boleh mengambil konsep dan pendekatan sama seperti CASA dan Kerajaan Azerbaijan dengan memberi geran kepada pengusaha restoran.

 

Ujarnya, langkah itu sekiranya dapat direalisasikan akan membuka ruang dan peluang kepada pelajar bidang tersebut mendapat pendedahan persekitaran tempat kerja dengan lebih dekat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor