HAB KEMAHIRAN JOHOR DIJANGKA SIAP FEBRUARI 2024


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh meninjau tapak pembinaan Hab Kemahiran Johor di Jalan Kulai-Kota Tinggi, pada Selasa. | Foto Ihsan FB Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Hab Kemahiran Johor yang dibangunkan bagi meningkatkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terletak di Jalan Kulai-Kota Tinggi dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun hadapan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, dengan pengoperasian hab berkenaan kelak, Johor dapat menjadi peneraju bidang TVET di negara ini seperti dihasratkan Kerajaan Negeri.

 

“Besar harapan Kerajaan Negeri Johor untuk menjadikan Negeri Johor sebagai peneraju utama TVET di Malaysia. Johor merupakan negeri yang berpotensi dalam bidang ini.

 

“Industri di Johor juga sangat memerlukan tenaga kerja yang banyak khusus dalam bidang TVET ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Hab Kemahiran Johor seperti dikongsi dalam Facebook rasminya, pada Selasa.

 

Turut hadir, Pengarah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Zulkifly Mohd Tahir.

 

Hab Kemahiran Johor dibangunkan untuk pemerkasaan bidang TVET bagi melahirkan lebih ramai pekerja mahir yang mampu memenuhi pasaran pekerjaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor