JOHOR SEDIA JADI LOKASI RANGKAIAN SUPERCHARGER TESLA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama pihak Tesla. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri menzahirkan kesediaan dan potensi Johor menjadi lokasi penubuhan rangkaian pengecas ‘supercharger’ Tesla.

 

Kesediaan tersebut dizahirkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Pengarah Wilayah Tesla, Isabel Fan.

 

“Ekosistem yang kondusif serta pengukuhan polisi Kerajaan yang menekankan peralihan kepada teknologi hijau, memberikan keyakinan kepada Tesla untuk melabur di Malaysia.

 

“Menerusi perbincangan ini, pelbagai perincian serta perancangan telah diutarakan oleh pihak Tesla. Kerajaan Negeri mengutarakan kesediaan dan potensi Johor menjadi lokasi penubuhan rangkaian Supercharger Tesla,” katanya dalam Facebook rasminya, pada Rabu.

 

Selain itu, Onn Hafiz merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas komitmen merancakkan pelaburan di negara ini dan berharap segala perancangan memberikan implikasi positif dalam rantaian sektor berkenaan.

 

“Jutaan penghargaan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pihak-pihak berkaitan atas usaha berterusan merancakkan pelaburan di Malaysia.

 

“Semoga segala yang direncanakan akan membuahkan hasil, terutamanya dalam meningkatkan peluang pekerjaan serta keterlibatan syarikat tempatan dalam ekosistem pelaburan pihak Tesla, sama ada di peringkat domestik atau global,” kata beliau.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir; Pengarah Bahagian Teknologi Pengangkutan MIDA, Nazuki Abdullah; Pengarah Bahagian Pelaburan Asing MIDA, Faizal Jalaludin serta Ketua Dasar Awam dan Pembangunan Perniagaan (Malaysia dan Singapura) Tesla, Ir. Ahmad Hadri Haris.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor