REDAH PERJALANAN KE MERSING DEMI KELUARGA DIRAJA JOHOR
MERSING — Sebuah keluarga dari bandar Ulu Tiram meredah perjalanan lebih 100 kilometer ke Kampung Stay, Teluk Buih, di sini, untuk bertemu keluarga DiRaja Johor sempena Kembara Mahkota Johor 2023.
Ismail Mohamad, 48, bersama isteri, Ungku Rasyidah Ungku Mohamed, 42, dan empat cahaya mata berserta dua anak saudaranya gembira dapat melihat dengan lebih dekat kemesraaan keluarga DiRaja Johor menyantuni rakyat.
“Kebetulan saya juga berada di Ulu Tiram (Kulim Eco Trail Retreat) tadi, sempena Kembara Mahkota Johor. Kemudian, saya bersama keluarga membuat keputusan untuk ke sini (Teluk Buih). Alhamdulillah, kami sampai ketika azan Zohor.
“Kami diminta untuk meletakkan kenderaan berdekatan Masjid Kampung Air Papan, seterusnya menaiki ‘shuttle bus’ ke sini (Teluk Buih) bersama pengunjung lain,” kata beliau ketika ditemui Media Digital Johor.
Akui berasa seronok dapat bersama dengan rakyat dalam Kembara Mahkota Johor kali ini, Ismail memberitahu akan meluangkan masa ke destinasi yang dikunjungi oleh rombongan Keluarga DiRaja dalam acara berkenaan saban tahun.
“Kami biasa untuk datang ke lokasi yang menjadi persinggahan Kembara Mahkota Johor sehinggalah yang terakhir iaitu sebelum pandemik pada tahun 2019. Kemudian, tiada penganjuran selama tiga tahun.
“Kali ini, penganjuran Kembara Mahkota Johor kembali diadakan. Saya merasakan ‘moment’ ini tidak patut untuk dilepaskan. Jadi, saya hadir pada hari ini untuk bersama dengan yang lain,” katanya yang bekerja dalam industri perkapalan.
Kampung Stay @ Teluk Buih merupakan destinasi ketiga untuk hari pertama Kembara Mahkota Johor 2023 selepas Kulim Eco Trail Retreat dan Dewan FELDA Bukit Aping Timur, dekat Kota Tinggi.
Pelbagai aktiviti diadakan antaranya penanaman pokok bakau, demonstrasi mencari dan masakan lokan, pameran agensi, penyampaian sumbangan, pembuatan kraftangan serta demonstrasi ‘Mountain Bike’.
DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mencemar duli berangkat ke Kampung Stay @ Teluk Buih selain berkenan menyaksikan acara sukan rakyat sebelum majlis santapan.
Berangkat sama, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar; Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali serta Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Mohd Norman Noh.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor