FESTIVAL MAJESTIC JOHOR 2023 SASAR 650,000 PENGUNJUNG
ISKANDAR PUTERI — Seramai 650,000 pengunjung dijangka menghadiri Festival Majestic Johor 2023 anjuran Tourism Johor dijadualkan berlangsung di Puteri Harbour, di sini, pada 26 Ogos hingga 3 September depan.
Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, penganjuran festival tersebut pada tahun lalu, berjaya merekodkan seramai 600,000 pengunjung.
Menurutnya, justeru sasaran pada tahun ini ditingkatkan dengan jangkaan pengunjung termasuk dari negara jiran, Singapura dan Indonesia.
“Walaupun festival kali ini diadakan singkat sikit, tetapi kita mendapat dua cuti hujung minggu serta satu cuti hari kebangsaan, dan juga bersempena cuti sekolah di Malaysia dan Singapura.
“Penglibatan agensi-agensi kerajaan dan juga 10 daerah Negeri Johor akan juga membawa pelbagai produk, makanan tradisional dan perkhidmatan dari daerah masing-masing.
“Untuk sambutan festival 2023 ini, kita bersiap sedia awal dari segi persiapan tempat, vendor dan promosi berbanding tahun lalu berikutan pandemik. Semua ditempah lebih awal dan tersusun dengan rapi,” katanya pada sidang media, pada Rabu.
Suhairi berkata, Festival Majestic Johor 2023 kali ini bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, karaoke Star Voice selain pertunjukkan bunga api sempena Hari Kemerdekaan.
“Turut akan disaksikan pembabitan 60 artis terkenal tanah air yang membuka ‘booth’ dan menjual rangkaian produk mereka sendiri seperti Wak Doyok, Dato’ Sri Aliff Syukri, Khai Bahar dan ramai lagi.
“Acara utama yang menjadi tarikan pada tahun ini ialah penampilan khas pasukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sempena ulang tahun penubuhannya ke-10,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor