APCW 2023 LABUH TIRAI, CAPAI MATLAMAT KUKUH KERJASAMA TANGANI PERUBAHAN IKLIM


Persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik 2023 (APCW 2023) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang melabuhkan tirainya hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik 2023 (APCW 2023) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang melabuhkan tirainya hari ini, mencapai matlamat untuk mengukuhkan usaha secara bersama dalam menangani perubahan iklim.

 

Dengan penyertaan 3,643 delegasi dari 108 negara yang berdaftar, persidangan ini berjaya menghimpunkan pemimpin, pakar dan pembuat dasar yang menyumbang idea, pandangan dan pengalaman untuk mendepani cabaran global.

 

Lebih 200 sesi telah diadakan berdasarkan empat sistem utama iaitu sistem tenaga dan industri; bandaraya, bandar dan penempatan luar bandar, infrastruktur dan pengangkutan; tanah, lautan, makanan dan air serta masyarakat, kesihatan, kehidupan dan ekonomi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han memaklumkan APCW 2023 istimewa kepada Kerajaan Negeri terutama dengan pelancaran Pusat Kelestarian Johor (JSC) serta Pelan Induk Pembangunan Hijau Negeri Johor atau ‘Johor Green Deal’.

 

Selain itu, Kerajaan Johor juga telah menjalin kerjasama dan perkongsian menerusi pelbagai perjanjian dimeterai dengan sektor swasta yang memacu ke arah pembangunan masa depan yang lestari demi generasi akan datang.

 

Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) atas kepercayaan seterusnya memilih Malaysia khususnya Johor sebagai tuan rumah persidangan antarabangsa tersebut.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor