JAUHAR CHILDCARE CENTRE BANTU IBU BAPA BEKERJA, PENDIDIKAN TERBAIK UNTUK ANAK


Sehingga kini, seramai 67 kanak-kanak sudah menikmati perkhidmatan berkenaan membabitkan tiga JCC iaitu di daerah Iskandar Puteri, Batu Pahat dan Pontian. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

Oleh Suhana Mohd Ariffin

Golongan ibu bapa terutama mereka yang bekerja menyambut baik inisiatif kerajaan dalam melaksanakan program Jauhar Chidcare Centre (JCC) yang bukan sahaja memberikan pendidikan pra-sekolah yang terbaik tetapi juga turut menawarkan yuran yang amat berpatutan. Sehingga kini, seramai 67 kanak-kanak sudah menikmati perkhidmatan berkenaan membabitkan tiga JCC iaitu di daerah Iskandar Puteri, Batu Pahat dan Pontian.

 

Melihatkan perkembangan yang memberangsangkan ini, sebuah lagi JCC akan diwujudkan di daerah Segamat dengan peruntukan sebanyak RM535,000 sebagaimana yang diperuntukan pada Belanjawan Johor 2023 yang lalu.

 

Penjawat Awam, Nor Syafiq Ahmad memberitahu, beliau amat berpuas hati dengan perkhidmatan pendidikan pra-sekolah yang dilaksanakan oleh JCC ini kerana ia amat membantu terutama kepada golongan ibu bapa yang bekerja.

 

“Dengan adanya JCC ini ia banyak membantu meringankan beban kami dari sudut kewangan berikutan yuran bulanannya yang berpatutan tetapi menyediakan perkhidmatan yang setanding dengan apa yang ditawarkan oleh institusi pra-sekolah milik swasta. Saya juga bertuah kerana JCC ini berada berdekatan dengan tempat kerja saya di Kota Iskandar,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Bagi Durra Yasmin Mohammad pula, beliau sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh JCC ini kerana kebajikan kanak-kanak dijaga dengan baik dan pada masa sama dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang turut berdepan dengan kenaikan kos sara hidup masa kini.

 

“Saya berharap dengan kos sara hidup yang tinggi yuran di taska dapat dikekalkan, sementara itu, pihak Jauhar Child Care Centre boleh menambahkan lagi taska di sekitar kawasan kerajaan Kota Iskandar supaya dapat membantu ibu bapa di luar sana.

 

Sementara itu, Ketua Unit Pembangunan Awal Kanak-Kanak JCC, Nur Azura Patoni, berkata pihaknya sentiasa mementingkan kualiti perkhidmatan bagi memastikan JCC akan menjadi lokasi pembangunan kanak-kanak yang terpenting di Johor.

 

“Kebiasaannya cikgu-cikgu di JCC ini akan diberikan kursus motivasi berkaitan pengurusan stress dan emosi. Ini kerana ia sangat penting supaya membantu mereka tangani emosi ketika berhadapan dengan kanak-kanak. Justeru itu, perancangan meluaskan JCC di kawasan komuniti seperti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sebagainya akan turut memberi kemudahan kepada komuniti umum, terutama sekali bagi golongan pendapatan rendah,” katanya.

 

#TriviaBajetJohor2023
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor