BANGSA JOHOR PILIH KESTABILAN DAN KESELARIAN


 

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.161 Pulai dan Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram telah membawa naratif pola pemikiran Bangsa Johor terutama di kedua-dua kawasan pilihan raya yang begitu mendambakan kestabilan demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama. | Foto ihsan Jabatan Penerangan

 

Berakhirnya tempoh dua minggu berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.161 Pulai dan Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, kebijaksanaan Bangsa Johor dalam memenuhi tuntutan demokrasi serta hak dan tanggungjawab masing-masing telah diterjemahkan atas kertas undi.

 

Calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan berjaya memenangi kedua-dua kerusi yang dipertandingkan susulan kekosongan luar jangka berikutan pemergian Allahyarham YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, selaku penyandangnya pada 23 Julai 2023 yang lalu.

 

Tahniah diucapkan kepada YB Suhaizan Kaiat kerana memenangi kerusi Parlimen P.161 Pulai dengan majoriti 18,641 undi sementara YB Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman (majoriti 3,514) bagi kerusi Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, sebuah kejayaan yang bergaya serta penuh bermakna.

 

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.161 Pulai dan Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram telah membawa naratif pola pemikiran Bangsa Johor terutama di kedua-dua kawasan pilihan raya yang begitu mendambakan kestabilan demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama.

 

Meskipun berhadapan dengan tempoh berkempen dua minggu yang menyaksikan asakan anasir-anasir luar dari barisan Kerajaan Perpaduan membawa tohmahan, dakwaan bahkan hasutan tidak bertepi, Bangsa Johor langsung tidak mudah terpengaruh sebaliknya kekal bijak memilih keselarian dan stabiliti.

 

Sepanjang tempoh ini, kocakan atau gelora yang berlaku di peringkat Persekutuan tidak sama sekali mempengaruhi ketenangan Bangsa Johor meskipun ada pihak yang beranggapan suatu gelombang akan membadai Negeri Johor sehingga merubah landskap selatan Tanah Air.

 

Keputusan yang terzahir dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.161 Pulai dan Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram ini telah menegakkan betapa Bangsa Johor telah memberikan isyarat yang jelas bahawa Johor Kekal Dengan Cara Johor dalam setiap resmi kehidupan.

 

Di samping itu, pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yang saling ‘complement’ dengan Kerajaan Persekutuan juga menjadi faktor Bangsa Johor meyakini betapa amat signifikan untuk memilih calon yang wajar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

 

Meskipun berhadapan dengan kebangkitan pasca pandemik COVID-19 selain ketidaktentuan politik sebelum ini, Negeri Johor kekal matang dalam setiap urusan pentadbirannya sehingga berjaya merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) RM70.6 bilion pada tahun lalu, selain beberapa kejayaan lain membanggakan dalam sektor yang pelbagai.

 

Keadaan ini telah menjadi indikator penting untuk Bangsa Johor yang menginginkan Kerajaan Negeri sedia memerintah terus diberikan kepercayaan penuh tanpa sebarang kacau ganggu anasir dari luar, untuk terus mentadbir Negeri Johor dengan jayanya dan berkesan.

 

Malah dengan telek pandang, serta titah nasihat daripada DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor serta DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, pentadbiran Kerajaan Negeri telah membuktikan kemampuan dan kebolehan berhadapan cabaran yang mendatang.

 

Atas sebab itu juga, adalah wajar untuk membenarkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk saling melengkapi antara satu sama lain demi kebaikan serta kemaslahatan Bangsa Johor. Keselarian ini secara jelas memberikan manfaat yang besar kepada Negeri Johor yang sedang giat mengalami pertumbuhan.

 

Justeru, berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.161 Pulai dan Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram telah menoktahkan sebarang bentuk gelombang yang cuba dinaratifkan oleh anasir-anasir luar malah mengangkat peri penting kestabilan dalam tatakelola demi kemakmuran negeri dan Bangsa Johor.

 

Terima kasih diucapkan kepada pengundi Parlimen P.161 Pulai dan Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram atas kebijaksanaan yang telah diterjemah atas kertas undi. Kepada YB Suhaizan Kaiat YB Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman, selamat maju jaya dan berkhidmatlah dengan penuh kesungguhan demi Bangsa Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor