BELANJAWAN JOHOR 2023 BUKTI KERAJAAN NEGERI PRIHATIN, ANGKAT SUARA ANAK MUDA


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor bersama penerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 | Sumber Facebook Mohd Hairi Mad Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Belanjawan Johor 2023 diluluskan oleh Dewan Negeri Johor baru-baru ini, membuktikan kerajaan negeri prihatin dan sentiasa mengangkat suara anak muda.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, dalam teras Orang Muda Johor, sebanyak lima strategi dan 28 inisiatif diumumkan Menteri Besar Johor.

Menurutnya, kesemua strategi dan inisiatif termasuklah yang rentas portfolio dalam belanjawan negeri tahun hadapan itu adalah bagi memastikan masa depan generasi muda terus gemilang.

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan inisiatif yang boleh memberi manfaat kepada golongan belia. Semua ini adalah usaha kerajaan negeri untuk membangunkan potensi dan menggalakkan anak muda untuk terus berada dalam arus perdana dan memastikan Negeri Johor terus dilapisi oleh kepimpinan anak muda yang hebat.

“Oleh itu, golongan belia diingatkan supaya sentiasa cakna dan bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan khususnya kerajaan negeri pada hari ini agar tidak terlepas sebarang peluang keemasan yang telah ditawarkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Johor Tahun 2022, semalam.

Dalam menjayakan hasrat dan usaha kerajaan negeri, Mohd Hairi turut mengharapkan sokongan dan kerjasama berterusan daripada semua jabatan dan agensi terutama di bawah portfolionya selain pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

Ujar beliau, ia bagi memastikan segala agenda pembangunan belia yang dirancang atau bakal dilaksanakan di Negeri Johor, dapat memberi manfaat khususnya kepada golongan belia.

Dalam ucapan sama, beliau memberitahu APBN merupakan platform menzahirkan pengiktirafan dan penghargaan pihak kerajaan kepada usaha serta sumbangan diberikan belia sama ada secara individu mahupun melalui pertubuhan.

“Melalui penganugerahan seperti ini, kita dapat melihat pencapaian yang telah ditunjukkan oleh para belia dan juga pertubuhan belia. Usaha ini sekali gus dapat melahirkan belia Bangsa Johor yang bersifat holistik, versatil dan kompetetif.

“Saya difahamkan, tiga kategori telah dibawakan dalam APBN Peringkat Negeri Johor iaitu Individu Lelaki, Individu Wanita dan Pertubuhan Belia. Justeru saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima APBN dan semoga pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin dan pembakar semangat untuk terus menyumbang kepada pembangunan belia khususnya di Negeri Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor