BELIA JOHOR DISERU PERCAYA DAN SERLAH POTENSI DIRI


Majlis Perasmian Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor 2024 telah disempurnakan oleh YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor selaku wakil rasmi kepada Menteri Besar Johor di Taman Tasik Penawar, Bandar Penawar. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor 2024, golongan belia di negeri ini, diseru menanam rasa percaya terhadap diri dan menyerlahkan potensi masing-masing selari dengan tema sambutan ‘Yakin Boleh’ sebagai persiapan mendepani cabaran pada masa hadapan.

 

Di peringkat Kerajaan Negeri, pelbagai inisiatif dirangka dan dilaksanakan di bawah Teras Keenam : Orang Muda Johor bagi membantu golongan berkenaan mempersiapkan diri termasuklah pemerkasaan kepimpinan menerusi Institut Dato’ Onn (IDO).

 

Antara inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah penganjuran Persidangan Belia Antarabangsa Johor (JIYC), Onn Leadership Accelerator (OLA), Rubrik Naratif Johor dan Dewan Muda Johor (DMJ) yang melibatkan orang muda di peringkat sekolah hingga pengajian tinggi.

 

Selain itu, penubuhan gerakan kesukarelawanan Southern Volunteers (SV) terus mendapat sambutan dan telah diperluaskan ke sekolah-sekolah serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan keahlian terkini seramai 91,675 orang setakat Februari lalu.

 

Kerajaan Negeri turut mendengar suara orang muda menerusi platform Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor ke 10 daerah bagi memberi peluang golongan berkenaan berkongsi aspirasi dan pendapat untuk bersama memainkan peranan membangunkan negeri ini.

 

Terdahulu, Majlis Perasmian Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor 2024 telah disempurnakan oleh YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor selaku wakil rasmi kepada Menteri Besar Johor di Taman Tasik Penawar, Bandar Penawar.

 

Turut hadir, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Johor Kawasan Tanjung Surat serta YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan).

 

#HariBeliaNegara2024
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor